Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 31, 2016

ULAT PARKIR DIKESAN BAWA SENJATA TAJAM


Ulat parkir dikesan bawa senjata tajam


Georgetown - Sudahlah meminta duit secara haram dari pemilik kenderaan, malah ulat parkir ini dikesan turut membawa beberapa peralatan tajam.

Itulah yang didedahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenai tingkahlaku ulat parkir iaitu individu yang didapati mengutip wang tempat letak kereta secara haram.

Ulat parkir ini dipercayai meminta bayaran tempat letak kereta secara paksa daripada pemilik kenderaan sedangkan kebanyakan petak letak kereta MBPP hanya menggunakan kupon.

Ahli Majlis MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, orang ramai perlu menjauhi kumpulan ulat tersebut kerana dipercayai mereka turut membawa pisau lipat, gunting dan senjata tajam lain.

"Senjata-senjata kecil ini bertujuan untuk digunakan untuk merosakkan kenderaan milik orang yang enggan membuat bayaran kepada mereka. Antara yang mereka lakukan ialah mencalarkan kereta sesuka hati mereka.

"Memang ianya terjadi kerana kami menjumpai senjata-senjata ini pada Orang Kena Tangkap (OKT) yang dicekup ketika mengutip wang parkir secara haram," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berharap supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa ketika meletakkan kenderaan.

"Jangan takut-takut untuk menghubungi polis mahupun pihak MBPP sendiri apabila ada ulat ini yang meminta bayaran dari anda," katanya.

Seramai 60 pengutip wang parkir secara haram sudahpun dicekup bermula Januari hingga November lalu melalui operasi yang dijalankan MBPP, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Azrizal turut memberitahu (MBPP) telah meletakkan 18 papan tanda amaran mengenai ulat parkir.

Melaluinya, papan tanda yang mula dipasang sejak November lalu itu turut memberikan orang ramai nombor telefon pejabat MBPP dan juga balai polis.

"Jangan buat bayaran jika mereka minta, memberi wang juga sekaligus menggalakkan kewujudan atendan parkir yang haram ini. Kami mahu anda hubungi kami sekiranya ada kes sebegini berlaku," katanya.


0 comments:

share2