Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 9, 2016

[PEKAN] IKAT GUNA KABEL BESI


Ikat guna kabel besi


Bagi mengelak sangkar ikan air tawar diternak hanyut dibawa arus banjir, penternak ikan sangkar di Kampung Langgar, Pekan, Noreha Abd Ghani, 56, mengambil langkah mengikat sangkar ikan menggunakan kabel besi.

Noreha berkata, dia menggunakan kabel besi untuk mengikat sangkar pada pokok besar di tebing sungai.

Menurutnya, pengalaman banjir besar sebelum menjadi iktibar dan dia membuat persiapan awal bagi mengelak kerugian.

“Lebih RM500 diperuntukkan untuk membaiki dan mengikat sangkarnya yang berada di Sungai Pahang.

“Persiapan awal perlu dibuat kerana bimbang banjir melanda seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya yang mempunyai lebih 30 sangkar ikan air tawar Patin dan Tilapia.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain berkata, penternak yang sangkar mereka terdedah kepada banjir dan arus deras sungai perlu memastikan ia diikat dengan kemas.

Katanya, penternak perlu menggunakan tali dan kabel besi untuk mengikat sangkar mereka pada pokok atau tiang konkrit yang ada di tebing sungai.

“Tali dan kabel besi lama perlu diganti dengan yang baharu. Selain dihanyutkan arus deras air sungai ada juga sangkar yang dilanggar balak dan kayu hingga menyebabkan ia pecah serta hanyut,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 8,642 unit sangkar diperbuat daripada kayu dan besi di negeri ini dengan jumlah paling banyak adalah di Pekan iaitu 4,163 unit diikuti Temerloh sebanyak 2,018 unit yang terletak di Sungai Pahang dan Sungai Semantan.


0 comments:

share2