Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 9, 2016

DIDIK ANAK BERINTERAKSI BERSAMA AL-QURAN


Didik anak berinteraksi bersama al-Quran


Setiap pasangan mendambakan cahaya mata untuk menjadikan hidup sekeluarga lebih bermakna. Namun apa yang lebih penting bagaimana ibu bapa membimbing anak masuk syurga.

PU Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Arbain, 34, berkata, ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran bahawa anak adalah perhiasan hidup kepada ibu dan bapa.

“Ini bermakna ibu bapa berasa seronok dan bahagia jika ada anak. Ibu bapa juga adalah anak kepada kedua orang tuanya.

“Mereka yang mempunyai ibu bapa di dunia patut bersyukur kerana dapat menikmati kebahagiaan bersama,” kata beliau dalam sesi taddabur dan tazakkur Anak-anak jambatan ke syurga dalam program Children #QuranHour, di Putrajaya, 4 Disember lalu.

ALLAH berfirman: “Harta dan anak-pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh yang berterusan adalah lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahf: 47)

Yusof berkata, selama ini kita membaca al-Quran tetapi usaha untuk memahami isi kandungannya adalah perkara penting. Selain menjadi perhiasan dunia, anak juga disebut oleh ALLAH sebagai ujian kepada ibu bapa.

Firman-Nya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH jualan pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun: 15)

Yusof menjelaskan sebagai perumpamaan, anak kita belajar di sekolah ada banyak ujian dan kebanyakan mereka mahukan ujian yang senang. Begitu juga anak adalah ujian ibu dan bapa.

“Untuk dapat ujian yang senang, anak perlu memudahkan urusan ibu bapa dan keluarga, dan bukan menyusahkan mereka, apatah lagi di sisi ALLAH dan Rasul-Nya.

Setelah mengetahui anak sebagai perhiasan dan ujian keluarga, bagaimana kita hendak masuk syurga sekeluarga? Oleh itu anak itu satu jambatan yang kuat untuk bantu ibu bapa masuk syurga,” katanya.

Menurut beliau, cara menjadi anak ‘jambatan ke syurga’ pertama selalu doakan ibu bapa untuk mendapat keampunan daripada ALLAH. Antara doa untuk ibu bapa terdapat dalam Surah Ibrahim, ayat 41 dan Surah Al-Israk ayat 24. Apabila kita membaca dan memahami al-Quran, sebenarnya terdapat banyak doa yang anak boleh amalkan. Doa anak yang soleh adalah mustajab, yakni ALLAH akan makbulkan.


PENGUKUHAN KELUARGA

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata Children #QuranHour adalah program julung kali diadakan selepas #QuranHour diperkenalkan pada 2013.

“Sempena 1438H, #QuranHour pada Muharram dan Safar dimulakan dengan aktiviti pengukuhan keluarga dengan al-Quran melalui My Family #QuranHour. Antaranya, program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) dijalankan setiap Ahad jam 4 pagi, selama lapan siri sejak 9 Muharram lalu.

“Bermula Rabiulawal ini, kita memasuki fasa My School #QuranHour dengan mengadakan Children #QuranHour. Ini berketepatan dengan Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) ke-4, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, sejak 2 Disember lalu.

“Kita hendak mengukuhkan keluarga dengan tema Ayah pemimpin masuk syurga sekeluarga, Ibu sebagai pendamping masuk syurga sekeluarga dan Anak-anak sebagai jambatan ke syurga,” katanya.

Tambah beliau, walaupun anak menyertai Children #QuranHour sejam bersama al-Quran, namun ia diharapkan menjadi cetusan untuk mereka berinteraksi dengan al-Quran. Ini bermakna anak tidak sahaja fokus terhadap kuantiti bacaan al-Quran, tetapi membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

“Kita harap anak-anak buka mata bahawa peranan mereka sangat penting sebagai jambatan untuk masuk syurga sekeluarga. Pengukuhan keluarga dengan al-Quran tersebut akan berterusan sehingga tiba 9 Zulhijjah 1438H untuk World #QuranHour,” katanya. 

Pengerusi MICF, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, Children #QuranHour bersesuaian dengan MICF yang pertama kali diadakan di masjid. Lebih 80 peserta Kem Solat Kanak-Kanak sempena MICF turut berpeluang berinteraksi bersama al-Quran.

Seramai 300 peserta kalangan ibu bapa dan anak menyertai Children #QuranHour sempena MICF, anjuran Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Sinar TV, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Zurriyat Adventures Sdn Bhd, Rumah Ngaji dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi).

Selepas sesi bertaddabur dan tazakkur, acara bacaan al-Quran dimulai dengan Surah Al-Fatihah oleh Yusof, Surah Al-Baqarah dari ayat 1 hingga 5 oleh adik Zafiera Nabila Kamarudin, 8, solidariti bacaan Surah Al-Baqarah oleh semua yang hadir, dan bacaan 24 surah terpilih oleh 24 peserta Cilik Rumah Ngaji @Al-Jauharah.

Penggerak Rumah Ngaji @Miri yang juga Wakil Rumah Ngaji Negeri Sarawak, Alina Abdul Razak berkata, seramai 70 kanak-kanak turut serta Children #QuranHour di Pusat Penerangan Islam, Kuching pada hari tersebut.


0 comments:

share2