Tiada apa yang diinginkan sepasang suami isteri selain melihat bayi mereka yang dilahirkan pra matang dan mengalami masalah paru-paru sihat seperti kanak-kanak lain.
Fazilnia Osman, 28, mengakui emosinya sedikit terganggu bukan disebabkan melahirkan bayi pramatang, tetapi tidak sanggup melihat tubuh kecil Faiha Anisah Alissha Mohd Abdul Aziz yang berusia enam bulan, berjuang untuk hidup.
“Saat dia dilahirkan, saya tak mampu berkata apa-apa bila lihat tubuh halus sebesar tapak tangan lelaki dewasa itu dipenuhi wayar berselirat di seluruh tubuh.
“Malah, doktor juga tak meletakkan sebarang harapan terhadap anak saya, namun Alhamdulillah berkat kesabaran dan doa saya dan suami dia memberi reaksi positif dan kini tidak lagi guna mesin bantuan oksigen,” katanya.
Dia ditemui selepas Majlis Meraikan Kanak-kanak Istimewa 4 Briged Mekanise di Kem Batu 10, di sini.
Pada majlis itu seramai 40 kanak-kanak istimewa yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera menerima sumbangan wang tunai dan hamper daripada Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.
Fazilnia berkata, hatinya sayu melihat puteri sulungnya itu terpaksa bergantung kepada mesin bantuan oksigen untuk bernafas.
“Saiznya hanya sebesar tapak tangan dan saya hanya sentuh hujung jari dan usapan itu terlalu sedikit supaya tidak menyakitkan badannya yang dipenuhi wayar.
“Selepas melahirkannya saya harapk dia diberi peluang untuk untuk terus sihat dan sempurna serta panjang umur,” katanya.
Menurutnya, Faiha Anisah Alissha dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh enam bulan lalu dengan berat hanya 918 gram ketika 26 minggu dalam kandungan.
Katanya, selepas bersalin secara normal bayinya diletakkan di bawah pengawasan rapi selama 24 jam selepas dilahirkan dan bernafas menerusi mesin bantuan oksigen selama empat bulan.
Fazilnia berkata berkata, ketika itu, dia dan suaminya Koperal Mohd Abdul Aziz Samsudin, 28, terpaksa berulang alik daripada Kem batu 5, Mentakab ke hospital.
Katanya, bagaimanapun dia bersyukur kerana berkat kesabaran dan tidak pernah berputus asa, kesihatan anaknya kini semakin baik walaupun tumbesarannya tidak seperti kanak-kanak lain.
Sementara itu, Khairuddin berkata, sumbangan diberikan, membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
“Saya harapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga terutamanya ketika membeli barangan keperluan anak-anak istimewa ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment