Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 30, 2016

[KUANTAN] HOSPITAL LANCAR MOMOGRAM DIGITAL


Hospital lancar mamogram digital


Hospital Pakar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini mengorak langkah dalam meningkatkan kualiti perkhidmatannya dengan penggunaan kemudahan pengimejan perubatan mamogram digital bagi mengesan gejala kanser payudara lebih awal.

Kemudahan terbaharu itu dilaksanakan mulai semalam melalui mesin berteknologi tinggi dari Amerika Syarikat yang berharga lebih RM550,000.

Pengerusi hospital pakar berkenaan, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, penggunaan mesin yang berfungsi secara digital itu menjadikan hospital itu sebagai hospital swasta pertama di negeri ini yang menggunakannya.

Menurutnya, mesin mamogram prosedur pengimejan perubatan x-ray dos rendah itu dapat membantu golongan wanita di negeri ini mengesan kanser payudara lebih awal walaupun tanpa sebarang gejala.

“Secara tidak langsung mudahkan masyarakat khususnya golongan wanita di Kuantan dan kawasan sekitarnya mendapatkan perkhidmatan mamogram berteknologi tinggi dengan harga berpatutan.

“Ia dapat mengimbangi pasaran supaya masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan mampu mendapatkan perkhidmatan pakar perubatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mamogram Hospital Pakar Muip di sini, semalam.

Wan Abdul Wahid berkata, perkhidmatan terbaharu itu sejajar dengan hasrat pihak pengurusan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dengan penyediaan mesin-mesin perubatan berteknologi tinggi selepas kerja-kerja ubahsuai bangunan itu siap dan dijangkakan semuanya akan beroperasi Jun tahun hadapan.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Pakar Muip, Datuk Dr Abdul Hadi Jaafar berkata, pihaknya akan memperluaskan perkhidmatan digital itu melalui promosi dan siri ceramah kesedaran dan keperluan mamogram yang akan digerakkan ke seluruh daerah termasuk

“Kita juga bercadang menjadikan Hospital Pakar Muip sebagai pusat sehenti mamogram dengan membawa pesakit dari luar untuk menjalani pemeriksaan.

“Kita juga bercadang untuk tawarkan perkhidmatan ini kepada hospital kerajaan di Pahang dengan tawaran harga yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, jika cadangan itu dipersetujui pihak kerajaan, pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan boleh buat pemeriksaan di hospital itu sekali gus dapat mengurangkan tempoh menunggu dan gejala kanser dapat dikesan lebih awal.

“Di sini, nisbahnya satu mesin 60 pesakit berbanding hospital kerajaan yang nisbah pesakitnya lebih ramai justeru, perkhidmatan yang kita ada ini dapat menampung keperluan hospital kerajaan,” katanya.


0 comments:

share2