Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 30, 2016

'KALU MOK TOK WI DUIT, NOK TIKAM MOK'


‘Kalu mok tok wi duit, nok tikam mok’


Kuala Terengganu - “Kalu mok tok wi (tak bagi) duit, nok tikam mok”, itu ayat ugutan yang keluar dari mulut seorang penganggur selepas kehendak mendapatkan wang RM50 tidak mampu ditunaikan oleh ibunya yang juga merupakan seorang warga emas.

Bagaimanapun, sikap biadab Zamri Musa, 44, terhadap ibunya, Mazizah Mamat, 70, menerima pembalasan selepas dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku salah melakukan ugutan jenayah itu kepada ibunya, di kediaman mereka di Kampung Titian Baru, Kedai Buloh, di sini, lebih kurang jam 11 pagi, pada 5 September lalu.

Dengan itu, Zamri mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa berada di dapur, mangsa dihampiri anak lelakinya (Zamri) dan meminta wang RM50 dengan alasan untuk membeli barang keperluannya disebabkan tidak bekerja.

Bagaimanapun, mangsa gagal menyerahkan wang tersebut kerana tidak mempunyai wang ketika itu sebelum Zamri mengamuk lalu mengambil tangga besi yang ada didapur serta mengacah-acah kononnya hendak menghempaskan tangga berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, Zamri mengambil sebilah pisau memotong sayur yang ada di dapur dan berkata “kalu mok tok wi (tak bagi) duit, nok tikam mok” sambil mengacukan senjata tajam itu yang dipegang di sebelah tangan kanannya.

Bimbang dan takut akan berlaku kejadian tidak diingini, mangsa menjerit sekuat hati meminta tolong daripada ahli keluarga yang lain menyebabkan Zamri terus melarikan diri.

Tidak tahan melayan kerenah anaknya itu yang sering mengamuk setiap kali tidak memberikan wang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis sejurus kejadian.






0 comments:

share2