Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 30, 2016

BANTUAN KEMANUSIAAN AKAN KE ROHINGYA


Bantuan kemanusiaan akan ke Rohingya


Ipoh - Sebanyak RM 150,892 berjaya dikumpulkan masjid-masjid di negeri ini sebagai sumbangan solidariti bagi masyarakat Rohingya selepas pelancarannya 9 Disember lalu.

Program ‘Food Flotilla For Myanmar’ anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Kelab Putra 1Malaysia dan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini.

Timbalan Presiden Mapim Kebangsaan, Zulkifly Ibrahim berkata, bantuan kemanusiaan yang disertai 200 sukarelawan terdiri daripada ahli-ahli NGO, pengamal media, pasukan perubatan, agamawan, ahli politik dan lain-lain berkaitan.

Menurutnya, mereka akan bertolak dari Pelabuhan Klang pada Januari depan dan dijangka kembali ke tanah air kira-kira dua minggu kemudian.

“Untuk bantuan kali ini, kita membawa makanan dan perubatan. Kita mahu dunia lihat apa yang berlaku seterusnya memberi perhatian sewajarnya.

“Atas desakan terutama dari Malaysia, minggu lalu telah diadakan permukiman Menteri Luar Asean di Yangoon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis penyampaian sumbangan solidariti daripada masjid-masjid negeri Perak kepada Mapim semalam.

Zulkifly berkata, hasil pertemuan itu, mereka (Myanmar) bersetuju untuk membuka ruang bagi bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa yang terlibat.

“Oleh itu, bantuan ini akan lebih mudah dilaksanakan apabila ada persetujuan bagaimanapun itu tidak bermakna usaha tersebut akan mudah kerana mereka tetap mengambil beberapa risiko,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah tepat keseluruhan kutipan di seluruh negara tidak dapat dipastikan namun ia hampir menjangkau RM1juta.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, inisiatif ini adalah kerjasama dan keprihatinan semua pihak dalam membantu masyarakat Rohingya yang ditindas di negara mereka.

Mohd Nizar berkata, sumbangan ahli kariah dan orang ramai yang disalurkan kepada masjid untuk tujuan ini akan diteruskan dan tiada hadnya.

“Saya berterima kasih kepada semua kerana prihatin dengan situasi rakyat di sana. Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan Rohingya.

“Sumbangan itu perlu disalurkan melalui badan atau pertubuhan bertanggungjawab dalam hal tersebut bagi mengelakkan daripada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.

Sumber

0 comments:

share2