Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 13, 2016

TETAMU TERLALU RAMAI, LANTAI RUMAH RUNTUH


 Tetamu terlalu ramai, lantai rumah runtuh


Huku Besut- Suasana sedih yang menyelubungi keluarga dua sepupu lemas di kediaman nenek mereka di Kampung Chegar Batang, di sini menjadi gempar seketika apabila lantai kayu ruang tamu rumah terbabit tiba-tiba runtuh kira-kira jam 9.15 malam semalam.

Saksi kejadian, Kartini Sulaiman, 45, berkata, gelegar kayu itu tiba-tiba runtuh menyebabkan sebahagian tetamu yang hadir menziarahi ke rumah keluarga mangsa lemas itu turut terjatuh bersama runtuhan lantai setinggi kira-kira satu meter itu.

Menurutnya, bagaimanapun tidak ada yang cedera dalam kejadian runtuhan itu yang menyebabkan lebih 10 orang terjatuh itu.

“Kejadian itu berlaku ketika jenazah kedua, Nurul Hasmila Ismail, 16, baru tiba dari Hospital Besut selepas selesai proses bedah siasat.

“Ketika itu jenazah pertama, Nur Nadirah Afrina Hakman, 9 sudah berada di ruang tamu rumah sementara menunggu untuk solat jenazah serentak dengan sepupunya itu,” katanya.

Semalam, mangsa kedua kejadian bot terbalik di Sungai Besut dekat Kampung Cegar Batang, Pasir Akar, Hulu Besut pagi tadi ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 6 petang.

Nurul Hasmila, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Besut, ditemukan kira-kira 50 meter dari kawasan mangsa pertama, Nurul Adira Afina Hakmal, 9, dijumpai

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chegar Batang, Adnan Said berkata, bilangan tetamu yang agak ramai sekali gus dan bahagian kayu pelapik yang uzur menyebabkan sebahagiannya runtuh.

Menurutnya, akibat kejadian itu, solat jenazah yang dijadualkan akan diadakan di rumah Mariam Jusoh itu dipindahkan ke rumah ahli keluarga terbabit yang terletak bersebelahan.

“Allahyarham Nurul Hasmila adalah cucu Mariam sementara Nur Nadirah Afrina adalah cicitnya,” katanya.

Adnan berkata lagi, ketika kejadian Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad turut berada di rumah tersebut untuk menunaikan solat jenazah tetapi beliau tidak terlibat dalam kemalangan itu.


0 comments:

share2