Shah Alam - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji secara menyeluruh cadangan mengurangkan kos memiliki lesen motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi di negara ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, pengurangan tersebut mungkin boleh menjadi galakan kepada lebih ramai penunggang motosikal untuk memiliki lesen, namun pihaknya perlu memperinci terlebih dahulu kesesuaiannya dan kos yang terlibat dalam usaha itu.
Beliau berkata penunggang motosikal harus memahami kelebihan memiliki lesen kenderaan itu kerana ia bakal memberi manfaat insurans kepada setiap individu khususnya jika terlibat dalam kemalangan.
"Hampir 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen dan 6,000 kemalangan melibatkan golongan tersebut dengan 18 kematian direkodkan setiap hari.
"Disebabkan itu, pelbagai program kita anjurkan dengan kerjasama entiti sukarelawan sebagai satu pendekatan kepada rakyat untuk memberi kefahaman terhadap isu keselamatan jalan raya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Nadzri melancarkan Fiesta Bikers Selangor 2016 dan Karnival JOM JPJ Selangor bertempat di perkarangan Stadium Shah Alam, di sini yang dihadiri lebih 15,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan rendah.
0 comments:
Post a Comment