Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 9, 2016

[TEMERLOH] TANAH SAWAH KEMBALI DIUSAHAKAN


Tanah sawah kembali diusahakan


Tanah sawah yang terbiar selama 47 tahun di kampung ini kembali diusahakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Charuk Puting dengan bantuan Pejabat Pertanian Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pegawai Pertanian Daerah, Noor Illiana Anour berkata, tanah seluas 50 hektar itu diusahakan oleh salah seorang penduduk kampung, Atan Mat Rahim, 51, menerusi perjanjian dengan pihak JKKK berikutan tanah itu adalah milik penduduk kampung.

Menurutnya, menerusi projek ini, pihaknya memilih penggunaan padi jenis mr 220 cl yang disemai pada awal Julai lalu, dan kini sedang dituai.

“Kita mula tuai pada akhir bulan lalu dan sasaran hasil tuaian dijangkakan sebanyak 4.5 tan per hektar. Hasil tuaian dijual ke sebuah kilang di Melaka.

“Setakat ini, projek ini menunjukkan perkembangan dan pencapaian yang baik, malah berjaya menghasilkan padi berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif diambil pihak JKKK itu sangat baik kerana ia bukan sahaja membolehkan tanah terbiar kembali diusahakan, malah membantu hasil padi dan meningkatkan pendapatan orang kampung.

Katanya, pihaknya sentiasa membantu memberikan perkhidmatan kepada orang ramai sekiranya ada yang mahu mengusahakan tanah-tanah terbiar di kawasan masing-masing, sekali gus dapat menampung keperluan hasil pertanian di negara.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Charuk Puting, Saharuddin Abdul Manaf memberitahu, selepas mendapat khidmat nasihat jabatan berkenaan, penduduk kampung bersetuju usaha berkenaan diteruskan daripada membiarkan tanah sawah yang masih berpotensi terbiar begitu sahaja.

“Sekurang-kurangnya penduduk kampung dapat manfaat daripada projek ini. Suasana kampung yang mempunyai sawah padi ini secara tidak langsung mengimbau kenangan kerana suatu ketika dahulu, penduduk kampung ini pernah mengusahakan sawah padi sebagai sumber pendapatan,” katanya.


0 comments:

share2