Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 9, 2016

‘SAYA RINDU PADA EH CUN'


‘Saya rindu pada Eh Cun’


Rasa rindu sesekali melanda, teringat rakan ketika menjejakkan kaki kali pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiang Chandi pada 1951.

Tidak seperti hari ini, tiada sebarang seragam rasmi, cukup hanya mengenakan pakaian harian.

Bagi yang berada, mereka mempunyai kasut getah lebih selesa berbanding murid miskin yang hanya berselipar buruk.

Persamaan inilah yang dikongsi murid SK Tiang Chandi, terdiri daripada masyarakat Melayu dan Siam di Repek, Rantau Panjang, Kelantan.

Ramai sudah meninggal dunia

Rasa rindu terhadap rakan-rakan sekelas membuatkan Husin Bulat, 74, terkenang kembali saat gembira semasa menimba ilmu di sekolah berkenaan.

Ketika itu katanya, sekolah tersebut dikenali sebagai SK Tiang Chandi, namun ditukar kepada SK Sri Kiambang pada 1980-an.

Ketika sekolah itu dibina hasil gotong-royong penduduk kampung, hanya dua kelas dibuka, yang mana setiap satunya menempatkan seramai 20 murid.

“Saya rindu Eh Cun Mode, Mek Kinok dan ramai lagi, tapi Tuhan lebih sayangkan mereka. Dah lama mereka meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, hanya sebilangan kecil rakannya masih hidup, namun kebanyakannya berada di luar daerah, antaranya Met Kilai dan Sukram Eh Choo.

Tahap kesihatan yang tidak mengizinkan juga turut membatasinya untuk bertemu rakan sekelas, Eh Bong Cha Sut yang masih tinggal di Kampung Repek.

Semua nama yang disebut adalah rakan sekolahnya berketurunan Siam, yang sama-sama menimba ilmu di sekolah berkenaan suatu ketika dahulu. Rakan sehati sejiwa, biarpun mereka berlainan agama dan bangsa.

Sehati sejiwa kerana segala aktiviti sama ada positif mahupun yang 'nakal-nakal', mereka lakukan bersama termasuk menangkap ikan laga, dan sesekali membaling buah mangga jiran untuk dikongsi cicah bersama.

Nakal zaman budak-budak dahulu, belum sampai tahap membuli atau sampai jadi kes polis. Indah sekali.

Belajar jawi di sekolah, rumi di Wat Uttamaram Repek

Husin berkata, dia masih teringat gelagat rakannya, Eh Cun Mode yang gemar mencari botol untuk dijual di sekitar sekolah.

Walaupun sibuk dengan tugas itu, Eh Cun dan rakan Siam lain sangat mahir membaca bahan bacaan bertulisan jawi antaranya, surat khabar Utusan Zaman.

Ketika belajar mata pelajaran Agama Islam, bagi menghormati sensitiviti agama mereka, ustaz menyuruh pelajar Siam ‘Kon Thai’ (gelaran untuk anak-anak Thailand) keluar, namun kebanyakannya enggan berganjak dari kelas.

Mereka berasakan setiap ilmu wajar dipelajari walaupun daripada agama yang berbeza dan ternyata ia memberi kelebihan kepada Eh Cun apabila diterima masuk ke Sekolah Islah di Kota Bharu.

Sekolah berprestasi itu hanya menempatkan murid pintar dan ditawarkan kepada anak muda yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Bukan itu sahaja, Husin berkata, murid Islam di kampung ini belajar membaca tulisan rumi di Wat Uttamaram Repek.

Pendidikan oleh Tok Raja Teresek yang mana ketika itu dikenali sebagai Tok Cha Besar Chan juga banyak membantu anak muda di sini, celik huruf.

“Kami bukan sahaja belajar secara percuma, malah makan dan minuman disediakan sepanjang persekolahan di wat ini," katanya.

Bukan persenda tapi budaya

Husin berkata, dia tidak mengetahui nama penuh rakan-rakan Siam di sini, kerana mereka mempunyai nama berlainan dengan nama panggilan di kampung.

Walaupun mempunyai nama Thailand yang unik dan sedap didengar, tapi ada sebilangan rakannya lebih suka dipanggil sebagai Awang dan Mek.

“Sesekali lihat, orang mesti ingat mereka adalah Melayu kerana rakan lelaki Siam tidak lekang dengan songkok, manakala rakan perempuan berbaju kurung lengkap bertudung.

“Itu bukan bermaksud mempersendakan Islam, tetapi budaya dan rasa hormat mereka kepada rakan-rakan Islam lain,” katanya.

Murid Islam lain juga katanya, rasa terharu dengan layanan rakan-rakan Siam yang begitu menghormati azan, tatasusila agama dan menutup aurat.

Rasa hormat inilah menyebabkan salah seorang rakannya, Wan Mat Wan Ismail tertarik untuk tinggal di Thailand, malah turut dilantik menjadi imam di Kampung Bukit, Thailand.

Setiap kali pulang ke kampung, Wan Mat mesti meluangkan masa melawat rakan-rakan Siam di sini, terutama Eh Bong.

Jatuh cinta pada gadis Siam

Tidak hanya berkawan di sekolah, Husin akhirnya turut bertemu jodoh dengan rakan Siamnya, iaitu Kep Na Cha Perat atau nama Islam, Che Minah Abdullah, 72, pada 1964.

“Walaupun berlainan agama, ibu bapa mentua dan ipar saya ketika itu melayan saya macam ahli keluarga sendiri.

“Malah nenek yang juga Siam Kelantan, bersengkang mata ketika isteri saya dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak sulung,” katanya.

Husin berkata, dia bertuah kerana dilahirkan dalam suasana itu kerana tidak timbul sebarang rasa iri hati sesama rakan berlainan agama, sebaliknya berkongsi nikmat yang ada demi nilai satu sahabat.

Menurutnya, keluarga mentua menghormati agama baharu yang dianuti anak mereka, termasuklah segi penyediaan makanan sehinggalah ke soal ibadah.

Dia juga mengajar sembilan anaknya agar menghormati keluarga mentuanya dan sentiasa berhubung biarpun di luar musim perayaan.

Sejak kecil katanya, anak-anak tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dalam budaya Melayu dan Siam.

Ini kerana, kedua-duanya mempunyai budaya yang hampir sama yang diterapkan sejak kecil.

“Ketika musim perayaan Siam, saya sering membawa anak-anak ke Repek dan bertemu dengan nenek dan datuk mereka.

“Malah anak-anak begitu gembira menyertai sepupu-sepupu mereka dalam majlis seperti Loy Kratung, pesta air dan banyak lagi,” katanya.

Husin berkata, jika ada saudara mara di perkampungan Siam sakit pula, isteri dan anak-anak akan melawat dan meluangkan masa sama ada di rumah mahupun hospital.

"Ketika isteri sakit, adik-beradik Che Minah turut melawat dan berdoa agar penyakitnya sembuh," katanya.

Husin berkata, dia bertuah kerana dilahirkan dalam suasana itu kerana tidak timbul sebarang rasa iri hati sesama rakan berlainan agama, sebaliknya berkongsi nikmat yang ada demi nilai satu sahabat.

Nilai itulah yang dibawanya sampai ke hari ini, diceritakan juga kepada anak supaya mereka tidak lupa bahawa sejauh mana pun mereka pergi, asal usul dan nilai persahabatan itu tetap perlu disanjung tinggi, tanpa mengira apa pun bangsa atau agama yang dianuti.


0 comments:

share2