Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 10, 2016

[RAUB] MISI MURNI BANTU PELAJAR MISKIN


Misi murni bantu pelajar miskin


Demi memastikan pelajar miskin berjaya seperti insan lain, Pertubuhan Kebajikan Keluarga Miskin (PKKM) menyalurkan bantuan basikal kepada 40 pelajar dari keluarga miskin di daerah ini. 

Pengerusi PKKM negeri, Zaini Ismail berkata, usaha itu dilakukan bagi membolehkan pelajar miskin mendapat bantuan sewajarnya bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di sekolah tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, atas alasan itu, pihaknya memberi basikal kepada pelajar untuk digunakan ke sekolah.

“Saya percaya ini akan memberi motivasi kepada mereka untuk hadir ke sekolah. Berdasarkan maklum balas, program ini telah memberikan keceriaan kepada murid-murid dan ibu bapa terpilih dan kita akan meneruskan program seperti ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada program sentuhan kasih di Dewan Ad-Darimi Pejabat Pendidikan Daerah Raub di sini.

Sumbangan ditaja oleh Great Eastern Takaful Berhad itu merupakan program tahunan yang dilaksanakan PKKM di negeri ini dengan memberi fokus kepada pelajar miskin dan juga golongan warga emas

Hadir sama, Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin; Penaung PKKM, Datuk Tengku Muhammad Sultan Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim. 

Zaini berkata, PKKM yang ditubuhkan pada 2013 memberikan tumpuan membantu pelajar-pelajar miskin di negeri ini bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik seterusnya mampu mengubah nasib mereka.

Katanya, pelbagai sumbangan dan keperluan pelajar telah disalurkan kepada golongan yang memerlukan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad berharap lebih banyak syarikat di negeri ini tampil bersama-sama dengan PKKM bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan nasib golongan yang kurang berkemampuan dapat dibela dan dibantu secara berterusan. Saya berharap agar lebih ramai yang tampil berkongsi kepayahan dan kesulitan yang dirasai ibu bapa mereka yang membanting tulang untuk menyediakan pendidikan terbaik untuk anak masing-masing,” katanya.


0 comments:

share2