Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 11, 2016

PEMIMPIN 'BERSIH CUBA TIPU' RAKYAT


Rizal Mansor


Kuala Lumpur - Kenyataan dua pemimpin Bersih 5 yang menafikan himpunan yang dibuat mereka tiada keganasan dilihat sebagai satu pembohongan nyata kepada rakyat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, kenyataan itu ternyata penuh hipokrit kerana sudah terbukti siri himpunan Bersih sebelum ini dicemari pelbagai insiden keganasan.

Jelas beliau, penafian Pengerusi Bersih, Maria Chin dan timbalannya, Shahrul Aman Mohd Saari tidak dapat menutup segala 'dosa-dosa' lalu yang dibuat oleh peserta Bersih terhadap keharmonian rakyat negara ini.

"Apa lagi yang mereka nak kelentong dan berbohong kepada rakyat? Semuanya sudah nyata dan jelas dalam lipatan sejarah hitam negara.

"Himpunan Bersih penuh provokasi, hasutan dan tindakan agresif terhadap rakyat serta kepentingan awam yang direstui sendiri pemimpin-pemimpin mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rizal mengulas demikian susulan kenyataan Maria dan Shahrul Aman yang meminta rakyat tidak salah tafsir terhadap tujuan Bersih 5 mahu mengadakan perhimpunan pada 19 November nanti.

Menurut mereka, himpunan Bersih 5 adalah untuk menuntut pilihan raya bersih, adil dan juga mengembalikan proses demokrasi yang didakwa mereka sudah dicabuli di negara ini.

Ujar Rizal lagi, pemimpin Bersih 5 mendakwa mereka tidak mahu 'berperang' dengan mana-mana pihak sebaliknya ingin memastikan keadilan dilaksanakan dalam negara ini.

"Saya nak tanya geng Bersih 5 ni, adakah tindakan mereka turun ke jalanan membawa mesej perpecahan dan laungan hasutan bukan bermakna mereka 'berperang terhadap demokrasi'?.

"Sejak dahulu lagi mereka mengajak segelintir rakyat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi melalui demonstrasi jalanan itu boleh dianggap adil, bersih dan memelihara demokrasi?" soal Rizal.

Ujar beliau, pendedahan Wikileaks tentang penglibatan hartawan Yahudi, George Soros yang membiayai dana untuk gerakan menjatuhkan kerajaan Malaysia termasuk Bersih sendiri cukup jelas untuk membuktikan segala-galanya.

"Soros si pendendam kesumat dengan negara ini sejak sekian lama dan sebab itulah dia sanggup membiayai apa sahaja gerakan menjatuhkan kerajaan Malaysia termasuk menjadi dalang di sebalik Bersih 5.

"Malahan 'track record' Soros dan Open Society Foundation dalam gerakan revolusi seluruh dunia penuh tragedi keganasan dan pertumpahan darah," katanya.

Justeru Rizal minta semua pemimpin dan peserta Bersih cermin diri sendiri dahulu sebelum mahu terus berbicara tentang tuntutan keadilan, ketelusan dan menjunjung demokrasi.

"Adakah merampas hak kebebasan untuk rakyat lain bergerak tanpa rasa cemas itu adalah adil? Adakah menafikan hak peniaga- peniaga yang mahu mencari rezeki di lokasi himpunan itu juga telus.

"Dan adakah tindakan peserta Bersih menghina, memijak, menyapu gambar pemimpin negara serta isterinya sebagai tindakan bertamadun?," jelasnya.

Oleh itu, beliau mengajak seluruh rakyat negara ini menolak dan mengutuk tindakan kumpulan Bersih untuk berhimpun sekali lagi kerana ia mendatangkan banyak keburukan kepada keharmonian serta keamanan Malaysia.


0 comments:

share2