Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 11, 2016

[BERA] KESEDARAN KANSER SERVIKS MENINGKAT


Kesedaran kanser serviks meningkat


Tahap kesedaran wanita terhadap bahaya penyakit kanser pangkal rahim semakin meningkat apabila statistik menunjukkan jumlah mereka yang hadir untuk melakukan pemeriksaan pap smear bertambah dari semasa ke semasa.

Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Kemayan, Peh Kim Kee berkata, sekurang-kurangnya 100 wanita di kawasan sekitar Kemayan ini akan melakukan pemeriksaan itu dalam Program Kem Kesihatan yang dilaksanakan di sini.

Menurutnya, statistik itu menunjukkan perubahan sikap yang positif kerana mereka berjaya mengikis perasaan malu untuk melakukan pemeriksaan itu demi kesihatan diri dan kesejahteraan keluarga mereka.

“Menerusi program seperti ini, dapat memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan ke klinik untuk melakukan pemeriksaan pap smear.

“Ada di antara mereka yang tidak pernah melakukan pemeriksaan tersebut, tetapi melihat rakan-rakan yang lain berbuat demikian, mereka memberanikan diri dan membuang perasaan malu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kem Kesihatan 2016 Kali Ke2, di sini, semalam.

Kim Kee berkata, selain menumpukan pemeriksaan pap smear, orang ramai juga berpeluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui keadaan gula dalam badan, tekanan darah dan juga mendapatkan khidmat nasihat daripada kakitangan klinik berkenaan.

Seorang peserta, Norizan Ismail, 43, berkata, demi memastikan tidak terdedah kepada kanser serviks, dia membuang perasaan segan yang sebelum ini menyekat hasratnya melakukan pemeriksaan tersebut.

“Memang segan tetapi kena buat juga. Kalau tak, kita tak akan tahu sama ada kita ada masalah atau tidak. Mungkin kalau ada rasa malu, kita boleh pergi bersendirian ke klinik saja,” katanya.

Bagi M Vasanthy, 42, setakat ini dia sudah menjalani pemeriksaan pap smear sebanyak empat kali sejak dari tahun 2012, dan dilakukan setiap tahun.

“Saya tak ada masalah nak buat pap smear, sebab yang penting kita kena pastikan kita sihat,” katanya.

Yong Chiew Nyok, 43, memberitahu, program seperti itu banyak memberi manfaat kepada wanita. 

“Kalau ada program ini selalu, saya boleh datang bila-bila masa tanpa perlu buat temu janji. Keadaan ini lebih memudahkan wanita-wanita di sini yang kadangkala tak ada masa nak buat pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, V Mahaletchumey, 35, pula berkata, sebelum ini, dia takut dan malu untuk melakukan pemeriksaan itu tetapi selepas dipujuk dan mendapat sokongan rakan-rakan, dia melakukannya.

“Semua wanita kena berani dan buang rasa malu...ujian ini sangat penting kerana kanser pangkal rahim adalah pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita, dan ia perlu dicegah,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2