Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 2, 2016

NIK ABDUH: PAS SOKONG USAHA KERAJAAN


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz


Kuala Lumpur - Pas menyambut baik usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) dan menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam politik negara.

Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa politik negara hendaklah diselesaikan sendiri oleh rakyat negara ini dan bukan melalui campur tangan asing.

"Kita mahukan politik negara ini bersih daripada isu campur tangan negara luar. Sebagaimana kita (Pas) berharap agar pihak kerajaan lebih telus, begitu juga dengan dana-dana yang disalurkan kepada atau diterima oleh parti-parti pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas NGO berkepentingan politik termasuk Bersih dan portal berita Malaysiakini yang didakwa menerima dana daripada pihak asing.

Pada 22 Jun tahun lepas, portal penggodam persendirian antarabangsa DC Leaks mengeluarkan dokumen yang mengaitkan hubungan antara NGO seperti Bersih, Merdeka Centre, portal berita Malaysiakini dan KiniTV dengan spekulator mata wang George Soros, serta yayasan miliknya iaitu Open Society Foundation (OSF).

Dalam perkembangan lain, Nik Mohamad Abduh mengalu-alukan usaha kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis (Lajnah Tahqiq Hadis) yang menyediakan pandu arah bagi mengekang penyebaran hadis palsu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, langkah itu sangat baik kerana isu hadis palsu sudah lama berlaku dalam kalangan umat Islam.

"Oleh kerana al-Quran dan hadis adalah rujukan utama umat Islam, maka Islam itu mestilah bersih dan ia tidak akan bersih jika kita merujuk pada hadis-hadis yang salah," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu bagi menapis dan menyemak hadis demi menjaga kesahihannya.

Jawatankuasa yang akan disertai tujuh ahli akademik dengan kepakaran khusus dalam ilmu hadis itu bakal menjadi pusat rujukan dalam menentukan taraf sesuatu hadis, seterusnya memartabatkannya sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran.


0 comments:

share2