Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 2, 2016

MALAYSIA TIDAK PERLU CAMPUR TANGAN PIHAK LUAR


Zahid Hamidi


Kuala Lumpur - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia tidak perlu campur tangan pihak luar untuk menentukan hala tuju politik negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, acuan politik negara ini sudah sesuai dengan situasi dan suasana politiknya.

"Malaysia tidak perlu mempunyai pembiayaan daripada luar yang boleh meminggirkan pemikiran utama rakyat secara keseluruhannya.

"Malaysia juga jangan seharusnya dipengaruhi dengan pembiayaan oleh dana-dana luar yang sama ada kepada media dalam talian, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun mana-mana individu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang bangkit mencelah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 bagi kementeriannya. 

Liang meminta penjelasan berhubung laporan media tentang sebuah badan asing dipengerusikan jutawan George Soros yang didakwa membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited untuk menyiasat mana-mana organisasi, warta berita atau media yang disyaki memperoleh sumber dana asing.

"Saya harap campur tangan pihak luar tidak seharusnya berlaku demi kestabilan politik negara ini," katanya yang mengambil masa hampir empat jam menggulung perbahasan bagi kementerian itu.

Dalam pencelahannya, Liang menyuarakan kebimbangannya tentang peranan Soros yang mempunyai hubungan dengan syarikat rangkaian antarabangsa dan pihak media asing yang melobi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"Negara Cina telah beri amaran serius terhadap George Soros dan kita harap ada tindakan tegas diambil bagi tujuan yang mendorong kepada rampas kuasa," katanya.

Senada dengan Liang, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pula menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Kewangan menyiasat jumlah kedudukan kewangan yang disalurkan Soros ke negara ini.

"Saya setuju mengenai berita yang keluar di akhbar utama masa mantan perdana menteri, Tun Mahathir (Mohamad) yang sangat memerangi George Soros dan sekat beberapa perkara yang memberi dana yang cukup banyak termasuk Merdeka Centre, Malaysiakini dan membiayai sebahagian daripada organisasi yang hendak menjatutkan kerajaan sedia ada," katanya.

Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) turut berpandangan tindakan segera perlu diambil sekiranya terdapat bukti ada pembiayaan dana yang boleh mengancam kedaulatan negara.

"Kalau ada bukti ambil tindakan, tak perlu bising melalui media," kata Idris.


0 comments:

share2