Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 9, 2016

[MARAN] JKKK DIMINTA SEGERA HANTAR LAPORAN


JKKK diminta segera hantar laporan


Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) daerah ini di minta menghantar segera laporan senarai keperluan projek dan prasarana di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan projek pembangunan luar bandar.

Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, laporan itu perlu diserahkan sebelum akhir bulan ini kepada pejabat daerah dan tanah atau kepada wakil rakyat bagi membolehkan permohonan itu dimajukan kepada Kerajaan Pahang dan Pusat.

"Sebarang kelewatan menghantar senarai projek tersebut hanya akan menyebabkan ia tercicir dan tidak mendapat pemerhatian dan kelulusan. Hantar awal supaya senang pihak atasan membuat keputusan termasuk menyediakan peruntukan yang secukupnya.

"Pihak atasan juga dapat memastikan mana-mana projek terpenting yang perlu disegerakan. Kalau hantar lewat, lewatlah proses dan adalah merugikan banyak pihak apabila permohonan tersebut membabitkan keperluan masyarakat," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia bagaimanapun mengingatkan JKKK tidak menyenaraikan projek mewah atau mega, tetapi menyenaraikan projek yang benar-benar keperluan rakyat bagi memastikannya cepat dilaksanakan serta mengelak pembaziran.

Menurutnya, kerajaan menyediakan bajet besar untuk pembangunan tahun 2017 terutamanya bagi projek pembangunan di kawasan luar bandar supaya rakyat di kawasan tersebut berterusan menikmati segala kemudahan dengan terancang dan baik

"Kira-kira 86.5 peratus projek pembangunan di Daerah Maran ini telah dilaksanakan terutamanya jalan raya, bekalan air, elektrik, masjid, surau, balai raya, tabika dan kemudahan sukan untuk belia termasuk bagi komuniti Orang Asli.

"Kerajaan negeri dan pusat masih lagi mampu melaksanakan projek pembangunan dan prasarana untuk rakyat walaupun negara menghadapi kesan ekonomi global.

"Kita masih bernasib baik kerana dapat menyediakan peruntukan pembangunan untuk rakyat, sedangkan rakyat di beberapa negara lain kerajaan mereka memberhentikan terus projek pembangunan kerana tidak mampu berikutan putaran ekonomi global sekarang," katanya.


0 comments:

share2