Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 10, 2016

[JERANTUT] 950 MINYAK MASAK PAKET DIRAMPAS


950 minyak masak paket dirampas


Peniaga runcit berusia 48 tahun bakal berhadapan dengan tindakan mahkamah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jerantut berjaya membongkar tindakannya menyimpan minyak masak paket di stor yang tidak didaftarkan. ‎

Sebanyak 950 kilogram minyak masak paket pelbagai jenis telah dirampas di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Desa Indah, di sini hari ini.

Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata, ‎penemuan terbabit adalah hasil tindakan pro aktif pegawai dan enam anggota KPDNKK Jerantut di bawah Ops COSS (Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) pada sekitar jam 4.30 petang semalam.

Tambahnya tindakan berkenaan dijalankan secara menyeluruh di Jerantut dan Lipis di mana pemeriksaan yang dijalankan di salah sebuah premis perniagaan runcit berhampiran Pasar Besar Jerantut di sini mendapati tiada minyak masak di simpan di premis berkenaan.

"Peniaga terbabit ‎kemudiannya diminta untuk membuat pengisytiharan stok dan didapati stok minyak masak disimpan di stor berasingan dari premis perniagaan berkenaan iaitu lebih kurang 3 kilometer dari premis terbabit.

"Kemudian pemeriksaan dilakukan ke atas lesen runcit barang kawalan dan mendapati tiada alamat stor‎ lain dilesenkan selain alamat premis perniagaan berkenaan," katanya.

Katanya lagi, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan di stor yang berada di kawasan perumahan yang merupakan sebuah rumah teres satu tingkat di sini dan hasil pemeriksaan mendapati barang kawalan minyak masak di simpan di stor berkenaan.

"Pihak KPDNKK kemudian bertindak menyita 695kg minyak masak paket jenama Roshan dan 255kg minyak masak paket jenama ‎Tiga Udang.

"Turut dirampas dalam operasi terbabit ialah satu unit lesen runcit barang kawalan dan dua unit invois belian barang kawalan minyak masak," katanya dalam satu sidang media yang dibuat, hari ini. Hadir sama ialah Pegawai KPDNKK Cawangan Jerantut, Mohd Faizul Ismail.

Sharuddin juga berkata, keseluruhan jumlah rampasan terbabit adalah bernilai RM2,375 di mana kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan di tempat selain dari tempat yang dilesenkan.

"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta yang sama di mana pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pemeriksaan dan operasi akan diteruskan setiap hari bagi memastikan bekalan minyak masak kembali pulih sepenuhnya selain memastikan tiada aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan oleh peniaga di semua peringkat.


0 comments:

share2