Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 12, 2016

GELOMBANG KEDUA AIR PASANG MULAI AHAD


Air Pasang


Kuala Lumpur - Beberapa kawasan rendah berhampiran pesisir pantai di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor akan terjejas dengan gelombang kedua fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama lima hari bermula Ahad ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran, Arman Mokhtar berkata antara kawasan dikenal pasti terlibat ialah Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, Pantai Tok Jembal di Kuala Terengganu, Terengganu di pantai timur.

Sementara di pantai barat melibatkan kawasan Kuala Muda di Kedah dan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam di Selangor, katanya kepada Bernama, di sini semalam.

"Bagaimanapun, fenomena ini hanya akan menjadi lebih buruk sekiranya diiringi kehadiran angin kencang, ribut dan ombak besar terutama sekali di pantai timur Semenanjung yang sedang mengalami musim monsun timur laut, manakala di bahagian pantai barat pula dalam fasa peralihan monsun.

"Musim monsun di kawasan terbabit kebiasaannya membawa angin kencang dan hujan lebat sekali gus dikhuatiri menghasilkan gelombang ombak lebih kuat daripada kebiasaan sewaktu fenomena air pasang besar melanda nanti," katanya.

Gelombang pertama fenomena air pasang besar yang berlaku pada 16 hingga 19 Oktober lalu menjejaskan beberapa negeri terutama di Selangor dengan hampir 500 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Zaitun Ab Samad berkata pihaknya menjangkakan paras kenaikan air pada gelombang kedua tidak setinggi gelombang pertama.

"Ketika ini (November) kedudukan bumi berada paling hampir dengan bulan dan mengikut ramalan air pasang surut menunjukkan paras air pada bulan ini lebih rendah berbanding paras ketika gelombang pertama melanda pada bulan lepas.

"Bagaimanapun, disebabkan beberapa faktor seperti kekuatan angin dan lokasi sesebuah kawasan itu sendiri, penduduk tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada Bernama.


0 comments:

share2