Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 21, 2016

[BENTONG] PI1M KOMITMEN KERAJAAN MENAMBAH BAIK KEMUDAHAN INTERNET


PI1M komitmen kerajaan menambah baik kemudahan internet


Kewujudan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Flat Batu Satu, Bentong dekat sini menunjukkan komitmen kerajaan bagi menambah baik kemudahan teknologi maklumat kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan luar bandar.

Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad berkata, kemudahan tersebut sekali gus dapat dimanfaat oleh seluruh lapisan masyarakat selain melahirkan generasi celik komputer.

Menurutnya, kerajaan mengutamakan pembangunan modal insan dalam kalangan penduduk luar bandar dengan pembinaan PI1M, malah lebih banyak kemudahan ini akan diwujudkan di beberapa kawasan pedalaman pada masa akan datang.

“Pelajar sekolah juga memperoleh manfaat kerana mereka boleh menyiapkan kerja sekolah di sini sahaja tanpa perlu keluar ke bandar seperti sebelum ini.

“Bagi mereka yang berniaga, mereka boleh menggunakan peluang ini untuk mereka mempromosikan produk mereka melalui internet yang mana produk mereka bukan hanya dapat dilihat oleh orang Bentong malah seluruh Malaysia dapat melihat produk mereka,” katanya selepas merasmikan Pusat Internet 1 Malaysia di Flat Batu Satu di sini, hari ini.

Pusat Internet 1Malaysia di Flat Batu Satu yang telah dibuka kepada orang ramai mulai November ini, kini dimanfaatkan oleh penduduk setempat untuk mendapatkan latihan keusahawanan dan juga pendidikan buat pelajar sekolah serta kemudahan WiFi secara percuma.

Azhar berkata, projek ini bertepatan dengan keperluan penduduk terhadap perkhidmatan berkenaan kerana teknologi bukan hanya untuk dikecapi masyarakat bandar malah komuniti luar bandar berhak untuk menikmatinya,

Azhar berharap dengan adanya pusat Internet 1 Malaysia ini, ianya dapat membantu komuniti dalam menguruskan aktiviti seharian dan menambah ilmu pengetahuan penduduk setempat.

“Ianya perlu dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat di sekitar perumahan ini terutama sekali kepada golongan muda yang merupakan generasi yang menjadi tunjang kepada warisan kepimpinan negara di masa akan datang

“Jadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi insan yang sempurna serta menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan dan diharap kemudahan yang telah disediakan tidak disalah gunakan oleh masyarakat agar tidak terpesong kepada tujuan utama penubuhan PI1M ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus PI1M Flat Batu Satu, S. Prathap berkata PI1M merupakan inisiatif kerajaan untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi selain perkhidmatan lain seperti latihan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Dengan bayaran RM5 sebagai wang pendaftaran keahlian seumur hidup, pengguna boleh menggunakan kemudahan internet di sini dengan selesanya.

“Selain itu kita juga menawarkan harga yang lebih murah seperti kalau kita nak print dekat bandar sekeping berharga RM 1 namun kalau mereka print dengan kami, harga yang dikenakan hanyalah 20 sen sahaja dan ianya sangatlah murah,”katanya.


0 comments:

share2