Kuantan - Seorang penunggang nyaris maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta ketika bertindak nekad menunggang secara melawan arus dalam cubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Khas Motosikal yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 1, Jalan Teluk Sisek di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, penunggang berusia dalam lingkungan 20-an dari Kempadang Perdana dekat sini bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan.
Manakala pemandu kereta jenis Proton Saga yang juga Pengurus Bola Sepak Pahang, Datuk Che Nasir Salleh tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir berkata, hasil pemeriksaan ke atas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang lelaki tersebut mendapati cukai jalannya sudah tamat tempoh.
Menurutnya, penunggang itu juga didapati hanya memiliki lesen L dan amat mendukacitakan apabila lesen itu juga sudah tamat tempoh.
“Kita mengeluarkan saman terhadap penunggang itu atas kesalahan menunggang secara melulu dan merbahaya selain tindakan atas kesalahan membabitkan lesen kenderaan motor dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.
Nazili berkata, sepanjang Ops Khas Motosikal bermula jam 8.30 malam hingga 12 pagi itu mendapati ada segelintir penunggang sanggup menggadaikan nyawa menunggang secara melulu dalam cubaan mereka melarikan diri daripada sekatan.
“Keadaan ini menunjukkan segelintir penunggang yang bermasalah ini tidak pernah mengambil berat aspek keselamatan diri masing-masing dengan terus melakukan kesalahan yang sebenarnya membahayakan keselamatan mereka sendiri dan pengguna jalan yang lain.
“Bila tertangkap mereka sanggup merayu minta dilepaskan atas pelbagai alasan ‘lapuk’,” katanya.
Menurutnya, hasil operasi melibatkan 84 anggota JPJ bersama 12 anggota daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pihaknya berjaya melakukan pemeriksaan ke atas 633 buah kenderaan dan 64 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Dalam operasi ini, JPJ mengeluarkan 119 saman kepada pemandu dan penunggang atas pelbagai kesalahan manakala dua buah motosikal dan sebuah kereta disita kerana tidak mempunyai cukai jalan.
“Sebanyak 182 kes diambil tindakan termasuk 64 kes atas kesalahan membabitkan lesen memandu, 102 kes cukai jalan, 11 kes melibatkan cermin sisi dan lima kes bagi kesalahan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi sama, AADK memeriksa 30 penunggang dan pemandu manakala salah seorang daripada mereka dikesan positif dadah jenis ganja.
Menurutnya, operasi itu adalah yang pertama selepas cuti Aidilfitri dan akan diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha mengesan dan membanteras kehadiran kenderaan, penunggang dan pemandu yang tidak layak berada di atas jalan raya.
“JPJ juga akan mengadakan sekatan jalan raya setiap hari di lokasi dikenal pasti bagi tujuan sama selain menyedarkan golongan itu supaya mematuhi undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nazili berkata, sepanjang Ops Raya, JPJ mendapati ramai di kalangan pengguna jalan raya terus berdegil melanggar peraturan walaupun peringatan demi peringatan diberikan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil.
Menurutnya, antara kesalahan yang paling kerap dilakukan pemandu termasuk memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Bagaimanapun statistik keseluruhan terhadap kesalahan dan tindakan sepanjang operasi tersebut belum dikemas kini untuk menentukan sama ada kes dikesan menurun atau naik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment