Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 23, 2016

AKTA RUU 355 DIBENTANGKAN MINGGU INI, KATA TPM


zahid-hamidi


Kuala Lumpur: Usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul itu akan dibuat Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.

“Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya.

Beliau yang juga ketua whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen semalam.

Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

Usul Hadi itu diletakkan pada nombor 4 peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan malah kerap kali bertukar nombor giliran.

Sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini selepas berlangsung sejak 17 Oktober lalu.

RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Hadi pada Mei mengesahkan RUU itu bertujuan untuk memperluaskan lagi skop hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah dan bukan bermaksud untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Zahid berkata taklimat sejam yang turut dihadiri ahli Parlimen BN dan pembangkang, dibuat berikutan terdapat pelbagai tafsiran terhadap usul ahli persendirian tersebut apabila ia dibawa ke Parlimen sebelum ini.

“Undang-undang ini, pertamanya khusus untuk orang Islam dan kedua, tidak ada mana-mana peruntukan dalam mahkamah sivil akan diambil alih mahkamah syariah dengan pindaan berkenaan melainkan ia hanya untuk memperkasakan mahkamah umat Islam.

“Ketiga, dengan adanya jawatankuasa ini, semua perkara dan aspek yang menjadi kekhuatiran ahli Parlimen bukan Islam sama ada di dalam atau luar BN akan diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menghormati sensitiviti masyarakat bukan Islam dan tidak ada niat untuk mempolemikkan isu berkenaan apatah lagi mahu mengeruhkan kepelbagaian agama di negara ini.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) ketika ditemui pemberita menyifatkan taklimat itu amat bermakna dan produktif untuk semua pihak.

“Saya rasa penting ialah pelaksanaan penerimaan untuk mahkamah syariah, tetapi itu terpulang kepada kelulusan Parlimen. Keputusan tentang kuasa-kuasa undang-undang ini akan ditentukan Majlis Perundingan atau Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula mendakwa semua pihak pembangkang sepakat dan tidak membantah berhubung isu tersebut.

“Perbincangan harmoni itu menerima sambutan baik daripada semua, ini untuk kebaikan Islam dan patut dibuat secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) berkata ada beberapa ahli Parlimen ketika dalam taklimat tersebut melontarkan idea mereka mengenai jumlah sebatan yang patut dikenakan ke atas pesalah undang-undang syariah.


0 comments:

share2