Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 9, 2016

ADUN BN HANTAR USUL TERGEMPAR BINCANG ISU SPLASH


Sidang Dun Selangor


Shah Alam - Adun Barisan Nasional negeri telah menghantar usul tergempar bagi membincangkan isu nilai pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) oleh kerajaan negeri, namun usul itu ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri Hannah Yeoh.

Adun Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata usul itu perlu segera dibincangkan sebab terdapat percanggahan kenyataan antara bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung nilai pengambilalihan sebenar syarikat konsesi air itu.

Yeoh memberitahu sidang media selepas selesai persidangan Dun semalam, bahawa usul itu ditolak sebab notis usul dikemukakan kepada setiausaha Dewan dan bukan kepadanya.

Katanya usul itu tidak perlu disegerakan sebab usaha pengambilalihan Splash masih dalam perbicangan antara kerajaan negeri dan pusat selain Mohamed Azmin memberikan penjelasan panjang mengenai isu itu dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017.

Mohamed Azmin, dalam satu portal berita sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri semasa di bawah Abdul Khalid tidak pernah memaklumkan kepada Dun berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.

"Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan Splash adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka yang diuar-uarkan seantero dunia, namun orang yang sama tidak pernah memaklumkan kepada Dewan berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009," kata Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan Belanjawan 2017 Negeri pada sidang Dun Selangor di sini minggu lepas. 

Abdul Khalid pula berkata kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash antara 2008 dan 2014 seperti yang didakwa Mohamed Azmin.

Katanya nilai terakhir yang ditawar kepada Splash semasa dalam pentadbirannya adalah hanya RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.


0 comments:

share2