Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 25, 2016

SYARIKAT DIMINTA LAKSANA PENGATURAN KERJA FLEKSIBEL


Syarikat diminta laksana pengaturan kerja fleksibel


Kuala Lumpu - Kerajaan mahu lebih banyak syarikat mengambil inisiatif melaksanakan amalan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) bagi memaksimumkan produktiviti dan prestasi syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kajian menunjukkan bahawa syarikat yang mewujudkan kepelbagaian di tempat kerja cenderung untuk lebih cemerlang dalam aspek kewangan.

"Kajian TalentCorp menunjukkan bahawa organisasi yang melaksanakan FWA mempunyai pembabitan kakitangan yang lebih tinggi serta produktiviti perniagaan bertambah baik," katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis Anugerah LIFE@WORK 2016 anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, setakat tahun ini terdapat 29 syarikat besar di negara ini yang melaksanakan FWA, peningkatan daripada 21 syarikat pada tahun sebelumnya.

Antara syarikat yang melaksanakannya termasuk Sunway Group, Maybank Group, Telekom Malaysia Berhad, Digi Telecommunications dan Johnson & Johnson.

Menurutnya, syarikat yang melaksanakan FWA juga mengekalkan dengan lebih baik tenaga kerja wanita serta meningkatkan keterlibatan golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya dan berbeza upaya.

Tambahnya, kerajaan juga menawarkan pelbagai insentif kepada syarikat yang melaksanakan FWA termasuk pelepasan cukai berganda.

Sementara itu, pada majlis tersebut sembilan syarikat mendapat anugerah LIFE@WORK 2016 sebagai mengiktiraf komitmen mereka dalam menjadikan FWA sebagai strategi perniagaan.

Pemenang anugerah Platinum diraih oleh Maybank Group, Organisasi Malaysia Terbaik (Digi Telecommunications), Organisasi Antarabangsa Terbaik (Intel Malaysia), Organisasi Lean Terbaik (Johnson & Johnson), Insentif Terbaik (Gamuda Berhad dan Telekom Malaysia Berhad), Juara CEO (Chong Chye Neo dari IBM Malaysia) manakala Anugerah Khas diberikan kepada Sunway Group bagi Amalan Mampan dan Starbucks Coffee Company bagi Amalan Inovatif.

Anugerah LIFE@WORK diperkenalkan pada 2013 dan pemenang anugerah serta majikan yang mengambil bahagian kini mewakili rangkaian organisasi LIFE@WORK dalam mempraktikkan amalan FWA.


0 comments:

share2