Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 17, 2016

'SAYA FAHAM KESULITAN IBU'


'Saya faham kesulitan ibu'


Johor Bahru - “Saya masih belum mempunyai baju raya untuk sambutan Deepavali kali ini,” ujar A Rishivarnan, 9, dari Taman Desa Cemerlang, di sini.

Rishivarnan adalah antara 200 penerima termasuk keluarga dan kanak-kanak dari sekitar bandar raya ini yang diraikan sempena program Sambutan Hari Deepavali bersama Bangsa Johor Bahru di Holiday Villa, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, bapanya telah tiada justeru ibunya yang bekerja di sebuah syarikat swasta mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara mereka adik beradik.

“Ibu janji untuk beli baju raya sebelum kedatangan Pesta Cahaya tetapi saya faham kesulitan ibu kerana perlu mendahului banyak perkara yang penting.

“Yang penting kedatangan saya ke sini benar-benar menyeronokkan. Selain dapat duit raya kami dijamu dengan pelbagai hidangan yang lazat dan sedap,” katanya.

Program berkenaan adalah anjuran Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bersama Holiday Villa.

Lebih manis, majlis tersebut mendapat perkenan Permaisuri Johor yang juga Penasihat Diraja Khidmat Masyarakat BSMM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah untuk berangkat dan menyempurnakan majlisnya.

Turut berkenan hadir, Tunku Temenggong Johor merangkap Pengerusi Khidmat Masyarakat BSMM, Tunku Idris Sultan Ibrahim serta Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Khidmat Kemasyarakatan Kebangsaan BSSM, Datuk Mohd Rashidi Mohd Nor.

Pada majlis berkenaan, keluarga yang diraikan menerima barangan keperluan harian serta bantuan wang tunai berjumlah RM100, manakala kanak-kanak kurang kemampuan yang terpilih menerima duit raya.

Seorang lagi penerima dari SJK Cina Tampoi, di sini, Janagashakti, 12, turut bersyukur terpilih untuk diraikan dalam program berkenaan.

“Gembira sangat kerana dapat ikut serta dalam program,” katanya.


0 comments:

share2