Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 18, 2016

REMUK DIHEMPAP POKOK


Remuk dihempap pokok


Seremban - Bukan saja terpaksa menanggung kerugian, malah seorang guru kelas belajar memandu hilang punca pendapatan sementara berikutan kereta yang digunakan untuk mengajar memandu rosak dihempap sebatang pokok tumbang, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam di Taman Seremban Jaya, di sini, semalam, apabila kereta Perodua Kancil milik Mokhtasor Malik, 59, yang diletakkan di luar hadapan rumahnya remuk, dianggarkan mengalami kerugian lebih RM5,000.

Menurutnya, sewaktu kejadian, hujan sangat lebat beserta tiupan angin kencang.

Dia bagaimanapun tidak menyedari kereta yang diletakkan di luar itu dihempap pokok tumbang.

“Saya hanya tahu awal pagi tadi (semalam) ketika hendak keluar rumah. Saya sangat terkejut bila melihat kereta saya musnah. Bahagian atas kereta habis kemek, cermin kereta juga pecah.

"Saya rasa kereta itu tidak boleh digunakan lagi. Kalau nak hantar baiki pun, harganya sudah pasti mahal dan tidak berbaloi,” katanya.

Akibat kerosakan itu, katanya, dia hilang punca pendapatan berikutan kereta itu saja merupakan kenderaan yang digunakan untuk mengajar kelas memandu.

Sementara itu, nasib Mokhtasor mendapat perhatian Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, David Choong Vee Hing.

David turut meminta Majlis Perbandaran Nilai (MPN) mengambil tindakan menebang pokok besar yang sudah tua bagi mengelakkan kejadian berulang.

Beliau berkata, amat bernasib baik kerana semasa kejadian tiada orang dalam kereta berkenaan.

“Saya berharap pihak berkaitan meneliti masalah ini supaya tiada kejadian sama berulang.

“Masalah pokok besar dan tua ini boleh diatasi. Saya berharap pihak berkaitan terutama MPN dapat memainkan peranan memantau keadaan pokok besar di sekitar daerah ini. Jika ia boleh mendatangkan kemudaratan, lebih baik ditebang,” katanya.


0 comments:

share2