Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 13, 2016

POLITIK SAMSENG SEPERTI BOM JANGKA


Politik samseng seperti bom jangka


Ke arah mana politik orang kita? 

Pertembungan kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning telah membawa kita ke satu ceruk budaya yang menjengkelkan. Apakah ini petanda bahawa samseng kini sudah diterima dalam politik kita?

Bukanlah hendak dikata insiden seumpama itu tidak pernah berlaku namun dahulu, ia adalah kes sangat terpencil. Satu daripada kes yang tidak banyak itu ialah peristiwa serangan oleh sekumpulan orang terhadap kumpulan petugas Pas yang sedang memasang poster Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Padang Terap di Felda Lubuk Merbau, Kedah pada 18 Januari 1985. Seorang daripada mangsa adalah AJK Pas Pusat waktu itu, Ustaz Othman Talib. Dia cedera parah dipukul hingga akhirnya membawa kepada kematian.

Namun dalam beberapa tahun kebelakangan, keganasan semacam jadi metod politik yang diterima walaupun tidak secara rasmi.

Bermula era reformasi, budaya demonstrasi oleh kumpulan yang membantah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah jadi satu cara untuk melampiaskan kehendak politik. Namun apa yang bermula sekadar sebagai ‘unjuk rasa’ itu apabila sudah tidak dapat dikawal telah menyebabkan meletusnya keganasan, dan ia adalah sangat mudah untuk berlaku dalam mana-mana situasi tegang!



Korup

Ketika itu, yang jadi sasaran adalah anggota pasukan keamanan. Mereka diancam, diserang, diterajang malah kenderaan milik kerajaan digodam dan diterbalikkan. Petugas keamanan diperlakukan sedemikian hanya kerana dituduh bersubahat dengan kerajaan yang korup! 

Lebih malang apabila ada pemimpin politik yang bukan sekadar merestui malah turut sama dalam aksi provokasi.

Mereka tidak pun menegah gelagat melampau penyokong yang tidak matang sebaliknya menjadikan itu sebagai ruang untuk meraih sokongan. Mereka bakar semangat anak-anak muda hingga golongan itu selesa dengan keganasan yang dilakukan!

Itulah yang berlaku ketika era reformasi yang kemudian menginjak kepada apa yang dikenali sebagai Bersih hari ini. Penyokong Bersih dikenali dengan imej Baju Kuning dan rata-rata mereka adalah penyokong parti pembangkang.

Jika selama ini, mereka seakan bertepuk hanya sebelah tangan, kini gayung mereka bersambut!

Muncul kumpulan Baju Merah yang berdiri di sebelah garisan parti pemerintah.

Apa yang membimbangkan ialah pertembungan dua kumpulan ini seakan tidak lagi dipandu akal waras. Tindak-tanduk mereka dipacu emosi hingga mencetuskan insiden-insiden ganas. Ini, jika dibiarkan akan membawa kepada peningkatan tahap keganasan, malah mungkin perang saudara pada masa hadapan. Dalam keadaan ini, apakah munasabah untuk ahli politik yang ‘membela’ dan ‘dibela’ oleh mereka sekadar berpeluk tubuh sambil menafikan penglibatan?

Walhal, siapa kepalanya adalah terang-terangan berjawatan ketua dalam parti mereka sendiri.

Namun itu bukanlah bermakna budaya samseng membabitkan penyokong Umno – yang lebih mudah disebut sebagai kumpulan Baju Merah – direstui oleh semua orang Umno. 

Pemimpin veteran Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh ketika mengulas tindak-tanduk ganas kumpulan itu berkata, Umno selama ini diberi kepercayaan oleh rakyat untuk terus memerintah kerana dilihat sebagai parti yang rasional.

“Kita tidak menang kerana sikap keras dan ‘gedebe’ pendokongnya. Ketika Pas diselubungi politik ekstrem ketika zaman amanat Haji Hadi, Umno pula terlihat cukup moderat. Pada ketika DAP sangat cauvinis, Umno memimpin BN dengan kompromi dan tolak ansur. Saya yakin, majoriti rakyat menolak politik demonstrasi,” kata bekas Ketua Penerangan Umno Perlis itu.



Kaum

Apa yang kita bimbangi sebenarnya adalah berkaitan dengan kemungkinan yang jauh melampau pada masa akan datang berbanding dengan apa yang sedang berlaku pada masa ini.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman mendedahkan hasil kajian pihaknya yang mendapati persempadanan baharu kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini adalah dibentuk mengikut kelompok kaum.

Dalam kata lain, kaum Melayu diletak dalam satu kelompok manakala bukan Melayu, dalam satu kelompok.

Mengambil kira poin kajian ini, juga selisih pertentangan antara kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning yang berasaskan politik, adalah amat membahayakan jika apa yang sedang berlaku dibiarkan marak. 

Ini ditambah dengan latar belakang kedua-dua kumpulan berkenaan. Pertentangan mereka sebenarnya bukan semata-mata politik malah turut dikaitkan dengan isu-isu agama dan kaum.

Kumpulan Baju Kuning yang walaupun penyokongnya adalah juga melibatkan orang Melayu/ Islam tetap dilihat sebagai gerakan yang didominasi kaum bukan Melayu yang berusaha menghakis hak dan kuasa politik orang Melayu di negara ini. 

Oleh kerana yang menunjangi kumpulan itu adalah individu bukan Islam yang dalam wadah lain dilihat bersikap lunak terhadap gerakan liberalisme yang anti Islam sementelahan pula yang jadi sasaran mereka adalah golongan elit politik Melayu yang memegang tampuk kuasa, mereka dianggap gerakan anti Melayu, juga anti Islam yang boleh menggugat nilai-nilai tradisi kekuasaan politik orang Melayu/ Islam.

Dalam pada itu, Baju Merah pula meletak diri mereka sebagai pembela Melayu.

Justeru, isu yang dibawa oleh kedua-dua kumpulan adalah sangat sensitif dan berpotensi untuk mencetuskan huru-haraa jika tidak ditangani secara tegas dan berkesan oleh pihak berkuasa.

Melihat pada sikap dan tindak tanduk kedua-dua kumpulan yang semakin melampau, ia boleh membawa bangsa dan negara kita semakin hampir dengan terowong malapetaka! 

Berkaitan itu, ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd Khairie Ahmad melahirkan kegusarannya terutama berkaitan dengan provokasi yang ligat dimainkan dalam media sosial.

Dalam mesejnya kepada penulis, beliau menyatakan, ekspresi politik yang tidak peka budaya serta nilai, amat merisaukan.

"Fenomena komunikasi politik yang tidak sensitif nilai budaya ini ditambah dengan fenomena defisit kepercayaan, menambahkan lagi kerisauan saya. Analisis Prof. Redzuan membuatkan saya begitu bimbang apabila disebut bahawa persempadanan kawasan pilihan raya yang baharu memaparkan pola berasaskan kaum. Ini satu lagi kebimbangan yang boleh diburukkan dengan situasi politik yang tidak peka dengan nilai kaum dan budaya termasuk keganasan dan budaya samseng yang semakin merebak,” tegasnya.

“Ini sangat tidak sihat untuk kestabilan politik demokrasi di Malaysia,” katanya lagi.

Untuk itu, kata Mohd Khairie, reaksi yang segera lagi tuntas perlu dimainkan oleh pemimpin politik politik bagi menenangkan keadaan.

Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Nazri Aziz juga pemimpin-pemimpin politik lain, cukupkah sekadar menafikan penglibatan kalian?

Jangan sampai apa yang sedang merebak jadi bom jangka yang boleh memecahkan keamanan bangsa dan negara kita suatu hari nanti!


0 comments:

share2