Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 17, 2016

[LIPIS] KEHILANGAN TERUS JADI TANDA TANYA


Kehilangan terus jadi tanda tanya


Kehilangan remaja Orang Asli, Rosi Bah Tam, 19, terus menjadi terus menjadi tanda tanya susulan tiada sebarang petunjuk diperoleh walaupun usaha menjejaki OKU itu masuk hari ke-10, semalam.

Difahamkan, pasukan penyelamat tidak mengesan bukti yang menunjukkan mangsa berada di sekitar kawasan hutan berhampiran Kampung Bandar, Pos Lenjang.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, seramai 60 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Rela, Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa), Felcra dan Jabatan Hutan menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, pasukan penyelamat mencari sekitar tiga kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang.

“Skop pencarian kita masih di lokasi yang sama dan operasi ini akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai. Kita juga ada meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Orang Asli dari Perak dan jika tiada halangan, esok (hari ini) mereka akan menyertai operasi mencari mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rosi disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak pulang ke rumah seperti biasa pada 7 Oktober lalu,

Mangsa yang mengalami masalah pendengaran, kaki dan tangan selain kerap diserang sawan dikatakan keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga lain.

Menyedari kehilangan remaja itu, ahli keluarganya bertindak meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di sekitar hutan berhampiran Kampung Bandar, Pos Lenjang namun gagal.

Pada petang 10 Oktober iaitu empat hari selepas mangsa dikatakan hilang, satu laporan dibuat oleh ibu saudara mangsa di Balai Polis Sungai Koyan.

Gerakan mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada pagi, 11 Oktober lalu dengan bantuan pelbagai pihak termasuk khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) namun sehingga kini mangsa masih tidak ditemui.


0 comments:

share2