Siapa sangka kisah berlatar belakangkan kehidupan sebenar yang ditulis hampir setiap hari di laman sosial, Facebook dan blog persendirian, menjadi sumber ilham menghasilkan novel.
Muhammad Hamka Embong, 39, atau nama penanya Hamka Kereta Mayat antara penulis novel baharu yang mula berjinak dalam dunia penulisan sekitar 2012.
Meskipun masih baharu, dia berjaya menghasilkan lapan novel hebat dan tiga daripadanya adalah keluaran Buku Pojok, berjudul Kisah Laki Bini, Kisah Anak Bini dan Satu yang akan dikeluarkan November depan.
Hamka berkata, pembabitannya dalam dunia penulisan ini sebenarnya di dorong oleh minat, namun beliau tidak menyangka mampu bergelar penulis novel dan bersaing dengan penulis tersohor lain.
“Sebelum ini, saya hanya tulis blog sekitar 2006, tapi disebabkan ingin meluaskan audien saya mula memperhebatkan dengan sedikit perkongsian di blog dan Facebook kepada sebuah buku...Alhamdulillah tak sangka ada sambutan.
“Kuasa ALLAH tiada siapa tahu, mungkin disebabkan penulisan novel saya berkonsepkan pengalaman dan ditulis bersahaja serta berunsur Islamik menjadikan niat untuk berkongsi, mendidik pembaca melalui kisah benar di sekeliling kita menarik minat pembaca.
“Siapa tak gembira jika karya diterima ramai malah mendapat maklum balas positif. Mungkin juga ini dikatakan rezeki daripada ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran novelnya di MBS World, di sini, kelmarin.
Penulis yang berasal dari Terengganu itu berkata, kejayaan menghasilkan satu novel setiap bulan menjadi pendorong untuk menghasilkan novel seterusnya.
“Catatan demi catatan terus dilakukan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri. Novel Kisah Laki Bini terhasil setelah segala idea disatukan dalam satu cerita yang sebenarnya berlaku hanya dalam satu perjalanan untuk ke kenduri, namun pelbagai perkara boleh berlaku yang mana penerapan dialog yang banyak diselitkan ilmu agama.
“Bagi judul Kisah Anak Bini, hanya perkara yang berlaku dalam tempoh satu jam di mana anak-anak kita sering utarakan persoalan yang adakala sukar dijawab. Walaupun ia nampak serius tetapi pembacaannya lebih santai,” katanya.
Beliau berkata, setiap karya dihasilkan bukan atas dasar syok sendiri sebaliknya dibuat selepas menganalisis selera dan kehendak pembaca.
0 comments:
Post a Comment