Cekal, itulah gambaran yang boleh diberikan kepada Nurul Nadzuana Madslin, 21, kerana tidak menjadikan masalah kesihatan sekali gus tidak dapat hadir kuliah selama dua bulan sebagai alasan untuk mengalah dalam jihadnya menuntut ilmu.
Dia yang merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah sempena Konvokesyen ke-15 Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), berkata, semangat tidak mahu mengalah dan kesungguhannya mengejar pengajian yang tertinggal dan tugasan diberikan ternyata berbaloi dengan kejayaan yang diperoleh.
Anak sulung dari dua beradik itu berkata, dia terhutang budi dengan pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu serta memberi sokongan di saatnya berjuang menamatkan pengajian.
“Saya terpaksa belajar secara individu dengan pensyarah untuk menggantikan kelas yang saya tidak hadir ketika sakit. Saya akui sedikit terganggu dengan situasi itu, namun mereka memberi sokongan kepada saya sehingga berjaya menggenggam Diploma Pengajian Media Islam pada majlis ini,” katanya.
Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail itu menyaksikan 293 graduan menerima diploma masing-masing.
Nurul Nadzuana dipilih menerima anugerah berkenaan di atas kecemerlangan akademiknya sepanjang tiga tahun dengan memperoleh keputusan cemerlang setiap semester iaitu enam kali anugerah dekan.
Kecemerlangan yang dicapai anak kelahiran Tawau, Sabah itu seiring dengan penglibatannya dalam kokurikulum iaitu dilantik sebagai Exco Akademik dan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar.
“Saya amat meminati bidang media dan komunikasi menyebabkan saya mahu menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sama. Saya juga berharap dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pembaca berita suatu hari nanti,” katanya.
Katanya, tinggal berjauhan dari keluarga menjadi pembakar semangat untuknya tekun belajar dan menjadikan nasihat ibu bapanya sebagai azimat sepanjang tiga tahun pengajian di Kuipsas.
Anugerah diterima Nurul Nadzuana melayakkannya menerima wang tunai RM2,000, jam tangan dan sijil penghargaan.
0 comments:
Post a Comment