Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 17, 2016

[KUANTAN] HANYA 50 SEN SEHELAI


Hanya 50 sen sehelai


Berbekalkan wang 50 sen, orang ramai boleh mendapatkan sehelai baju atau seluar terpakai yang dijual di Kedai Bundle 50 sen di Taman Tas, di sini.

Harga rendah ditawarkan menyebabkan kedai yang beroperasi sejak setahun lalu itu menjadi tumpuan.

Pemiliknya, Tamsil Osman, 56, berkata, pelbagai jenis pakaian ditawarkan di kedainya seperti kemeja, seluar panjang, seluar pendek, jaket dan baju-T.

Pesara tentera itu berkata, pelanggan bebas memilih dan membeli seberapa banyak pakaian diinginkan.

“Alhamdulillah, setiap hari premis ini tak lekang dengan kehadiran pelanggan. Lebih penting saya seronok apabila pelanggan gembira membeli di sini dan ada yang beli berpuluh helai pakaian dalam satu masa,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini.

Menurutnya, kedai itu diusahakan dengan bantuan ahli keluarganya.

Tamsil berkata, stok pakaian terpakai di kedainya itu diambil secara pukal daripada pembekal di Banting, Selangor.

“Pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada pelbagai golongan seperti nelayan, pelajar sekolah dan warga asing yang bekerja di sini. Golongan profesional pun kadangkala singgah di sini,” katanya.

Menurutnya, kesemua pakaian dijual pada harga 50 sen, dilonggokkan sahaja kerana stoknya terlalu banyak.

Katanya, pakaian tersebut mendapat sambutan hangat terutamanya daripada nelayan, buruh kasar dan warga asing kerana ia dipakai bekerja.

Tamsil berkata, selain daripada pakaian terpakai yang berharga 50 sen, dia turut menjual pakaian bundle berharga antara RM5 hingga RM50.


0 comments:

share2