Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 19, 2016

[KUANTAN] PELAJAR INDIA IKUT KELAS MENGAJI


Pelajar India ikut kelas mengaji


Walaupun bukan beragama Islam, namun itu tidak menghalang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist mengikuti kelas Celik al-Quran yang diadakan di sekolah itu.

S Ritha berkata, selepas tamat menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), pihak sekolah menyusun pelbagai program untuk diikuti pelajar Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, bagaimanapun dia memilih untuk mengikuti kelas mengaji kerana mahu mengetahui tentang al-Quran.

“Ini kali pertama saya ikut kelas al-Quran dan mengaji. Sepanjang dua hari ni, saya dapati baca al-Quran taklah susah cuma perlu tahu asas yang betul.

“Saya rasa seronok dapat melalui pengalaman baru dan harap dapat belajar al-Quran dengan lebih mendalam.

“Sebelum saya ikuti kelas ini, saya dah dapatkan kebenaran daripada ibu bapa,” katanya ketika ditemui pada Program Celik al-Quran anjuran Pertubuhan Sukarelawan Al-Quran Pahang di SMK (P) Methodist, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK (P) Methodist, Nor Naseha Rosni Mohd Arshad dan Pengurus Komunikasi Korporat Pertubuhan Sukarelawan Al-Quran Pahang, Irish Lynn Abdul Razak.

Pada program tersebut, seramai 87 daripada 114 pelajar tingkatan tiga mengikuti program selama empat hari.

Sementara itu, Irish Lynn berkata, pihaknya akan mengadakan program itu di 127 sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di daerah ini sehingga tahun hadapan.

“SMK (P) Methodist adalah perintis program Celik al-Quran yang kita adakan menggunakan kaedah yang lebih mudah dan sesuai untuk pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Naseha Rosni berkata, pihaknya berterima kasih kepada pertubuhan berkenaan kerana memilih sekolah itu sebagai perintis program.

Beliau berkata, ia sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan kepada pelajar terlibat untuk mempelajari al-Quran dengan cara yang lebih mudah.

“Program ini amat baik dan sesuai terutama kepada pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan,” katanya.


0 comments:

share2