Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 19, 2016

BAHANA SKIM CEPAT KAYA





SINDIKET multi-layer marketing (MLM) mula aktif di universiti awam dengan menyasarkan pelajar-pelajar kemasukan baharu sebagai mangsa. Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mahasiswa, pensyarah dan pihak pentadbiran universiti.

Skim MLM memanipulasi kenaifan pelajar-pelajar baharu yang memasuki institusi pengajian tinggi merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan. Dengan meletakkan keuntungan sebagai tujuan utama, dan dalam masa sama menggadaikan masa depan bakal pemimpin negara.

MLM tidak boleh disalahkan sepenuhnya memandangkan kebanyakan skim tersebut berdaftar secara sah di bawah peruntukan undang-undang dan Bank Negara.

Yang membahayakan mahasiswa dan belia adalah sindiket penipuan menggunakan nama syarikat berdaftar untuk menipu wang pelajar-pelajar yang sedia ada serba kekurangan dengan menjanjikan bulan dan bintang.

Lebih teruk, apabila pelajar-pelajar naif ini dipaksa melaburkan beribu-ribu ringgit sebagai modal permulaan. Hingga ke satu tahap dipaksa meminjam daripada kawan-kawan dengan kaedah menipu semata-mata untuk menjebakkan mereka dalam skim penipuan MLM.

Memahami golongan terdesak dan terpukau

Sekalipun amaran keras diberikan kepada mahasiswa supaya tidak sesekali menyertai skim cepat kaya ini, kita harus mengakui bahawa keperluan kewangan yang mendesak merupakan faktor utama berlakunya aktiviti pemangsaan ini.

Ada mahasiswa yang kurang keperluannya dan sangat sempit berbanding rakan-rakan lain. Kerana itu, mereka merasakan perlunya sedikit wang tambahan untuk melapangkan minda daripada risau mengenai perihal kewangan sendiri dan mungkin juga, beban kewangan keluarga.

Kita akui segelintir mahasiswa yang terjebak dalam skim ini kerana tamak dan terpukau dengan kemewahan yang dijanjikan. Kerana itu, perlunya muhasabah dengan menginsafi kes-kes terdahulu sehingga mereka dibebani masalah dan dikejar supaya melangsaikan hutang.

Berniaga betul dan jujur

Justeru, kita sangat menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam perniagaan yang benar-benar perniagaan atau real business. Belajarlah daripada usahawan-usahawan peniaga atas talian, daripada mahasiswa dan belia yang menjalankan transaksi barangan yang nyata.

Selain itu, perniagaan bersifat produk kreatif semakin mendapat sambutan baik dan mempunyai pasaran stabil. Pelajar juga boleh memulakan perniagaan dengan menyertai rakan-rakan yang mempunyai asas tapak perniagaan lebih kukuh.

Mulakan kecil tetapi berhasil, paling penting ialah pengalaman. Tiada yang mudah untuk dikecap melainkan yang mudah itu sekadar untuk kenikmatan sementara. Tetapi jika sesuatu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan iltizam kuat, itulah kejayaan yang berkekalan dan jauh lebih bermakna.

Teroka bidang penulisan

Secara peribadi saya lebih gemar mencadangkan rakan-rakan menceburi bidang penulisan. Sebagai mahasiswa yang mempunyai kemahiran berbahasa yang baik dan akses kepada pelbagai sumber rujuk tersedia di setiap institusi, manfaatkan ia dengan menulis artikel atau buku yang berkualiti dan dipasarkan.

Bonus kepada anda sekiranya mampu menulis dalam bahasa Inggeris kerana pasarannya dapat dikembangkan ke peringkat global. Jika tidak cukup berkemahiran, institusi penterjemah dan penerbit-penerbit sedia membantu dalam bab penterjemahan. Asalkan penulisan kita itu mampu memberikan lonjakan positif kepada imej negara.

Pesanan akhir, jauhilah skim penipuan ini dengan melibatkan diri dalam perniagaan yang benar-benar memberi pulangan atas usaha sendiri.

Kiriman: Irfan Faruqi M. Fairus - Naib Yang Di-Pertua lll, Majlis Perwakilan Pelajar USIM


0 comments:

share2