Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 19, 2016

[JERANTUT] EMPAT TAHUN TUMPANG BALAI RAYA


Empat tahun tumpang balai raya


Sejak empat tahun lalu, Tadika Kemas Kampung Temin terpaksa berpindah ke bangunan Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temin memandangkan lokasi asalnya tidak sesuai dijadikan pusat didikan kanak-kanak.

Pengerusi JKKK Temin, Mohd Zanal Ismail berkata, lokasi asal pusat didikan itu berada di kawasan berhampiran hutan dan agak terpinggir.

Menurutnya, disebabkan bimbang keselamatan anak-anak penduduk kampung ini, JKKK memutuskan untuk membenarkan tadika beroperasi di Balai Raya JKKK.

“Jadi bila dah tadika pindah ke balai raya ni, segala aktiviti dan mesyuarat JKKK terpaksa diadakan di bangunan sebelah yang lebih kecil.

“Berikutan itu kami pernah buat permohonan bina bangunan baharu bagi menempatkan tadika berkenaan namun kami difahamkan permohonan itu ditolak.

“Kami pilih tapak berdepan dengan balai raya ni yang agak luas dan lebih sesuai dijadikan lokasi tadika berbanding sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mohd Zanal berkata, lokasi itu bukan sahaja berhampiran jalan utama, malah lokasinya lebih selamat untuk dijadikan tempat anak-anak belajar.

Katanya, terdapat kira-kira 20 murid terdiri daripada anak-anak penduduk belajar di Tadika Kemas Kampung Temin.

“Semakin hari jumlah penduduk semakin bertambah, jadi kami fikir kemudahan tadika yang lebih baik perlu disediakan.

“Tadika yang ditempatkan sementara di balai raya ini tiada papan tanda dan tidak dihias sebagaimana tadika-tadika yang ada di kawasan lain.

“Kalau dapat bina tadika baharu, dapatlah hias tadika ni dengan lebih cantik sekali gus meningkatkan lagi imej Kampung Temin,” katanya.

Beliau berkata, meskipun permohonan pernah ditolak dahulu, pihaknya telah menyuarakan perkara terbabit kepada pihak atasan dan akan berusaha membuat permohonan sekali lagi.

Katanya, beliau berharap apa disuarakan diberi perhatian oleh pihak atasan, sekali gus dapat memberikan kemudahan pendidikan terbaik untuk anak-anak kampung.


0 comments:

share2