Sepang – Mungkin ini insiden paling pelik di negara kita apabila penganjur perhimpunan haram Baju Kuning dilayan macam anak emas manakala penentangnya, Baju Merah ditahan bak penjenayah.
Bagaikan skrip lama diulang tayang, pemimpin Bersih 5.0, Maria Chin Abdullah kelmarin ‘berlakon’ drama sedih apabila mendakwa dirinya diancam bunuh oleh penyokong Baju Merah yang ada kaitan dengan militan Daesh!
Sandiwara yang entah betul atau rekaan itu sekali gus mengimbau semula dakwaan Baju Kuning tahun lalu konon Baju Merah akan buat huru-hara di Petaling Street di Kuala Lumpur ala tragedi berdarah perkauman 13 Mei 1969.
Tohmahan jahat kumpulan antikerajaan itu mengakibatkan pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos ditahan polis dalam lokap, namun dibebaskan setelah siasatan mendapati berlaku salah faham mengenai ‘cerita’ tersebut.
Pagi ini, kisah serupa berulang kembali apabila Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu ditahan sekali lagi oleh pihak polis, tetapi kali ini berlaku di dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Ramai netizen waima penyokong Barisan Nasional (BN) sendiri tertanya-tanya apa sebab pemimpin Baju Merah itu ditahan polis, walhal Maria Chin pula ‘bebas’ ke sana ke mari hasut rakyat guling kerajaan secara tidak demokratik.
Apakah kerana ia ada kaitan dengan propaganda fitnah jentera siber pembangkang yang tampil banyak akaun palsu menerusi media sosial mendakwa konon Jamal mahu mencetuskan semula insiden perkauman 13 Mei di ibu kota?
Atau adakah ini ada kaitan dengan laporan polis oleh Maria Chin konon dia sekeluarga akan dipenggal kepala oleh pengganas Daesh kerana bersikap bangga biadap bertekad untuk menganjurkan perhimpunan haram edisi kelima?
Menurut portal berita AgendaDaily, Jamal tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum ditahan pihak polis. Jamal ketika dihubungi berkata anggota polis bersiap sedia di KLIA ‘jemput’ dalam pesawat.
“Saya ‘dijemput’ langsung dari dalam kapal terbang. Penahanan ini dilakukan di kawasan lapangan terbang, saya bukan hendak melarikan diri. Selepas hantar keluarga balik rumah, saya boleh datang ke balai polis,” katanya.
Namun, beliau akur dengan tindakan pihak polis dan memberikan kerjasama sepenuhnya. Jamal berkata, sebelum ini telah memaklumkan bahawa beliau sendiri akan berhubung dengan pihak polis sebaik pulang ke Malaysia.
“Mereka (polis) tiada pula menghubungi saya, tetapi saya ada maklumkan akan datang ke mana-mana balai yang berhampiran. Saya berasa kesal kerana ditangkap di depan keluarga, anak-anak dan orang rumah saya sendiri.
“Setabah mana pun keluarga kita, mereka pasti akan tersentuh perasaan,” katanya yang berada di London, United Kingdom selama seminggu atas urusan perniagaan. Jamal berkata beliau masih belum pasti punca penahanannya.
Menerusi rakaman video yang diperoleh AgendaDaily, lebih tujuh anggota polis tanpa uniform terlibat dengan penahanan tersebut, sekali gus menyaksikan penahanan Jamal setanding dengan penjenayah tegar berbahaya.
“Saya tidak pasti mengapa saya ditahan tetapi saya fikir ia adalah kaitan dengan kumpulan Baju Merah,” kata beliau namun enggan mengulas lebih lanjut kerana bimbang boleh mengganggu proses siasatan oleh pihak polis pula.
Dalam pada itu, penahanan secara mengejut tersebut turut dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (Nadi Rakyat), Rafi Awang Kechik dalam satu kenyataan rasmi menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Berdasarkan kenyataan itu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Selangor itu berjaya ditahan sebaik tiba dari luar negara sebelum dibawa pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
“Bertabahlah Dato’ (Jamal) kerana inilah nilai perjuangan yang perlu kita bayar,” katanya dalam kenyataan tersebut yang turut mendapat sokongan ramai pengikut beliau selain menerima tanda simpati dari kalangan mereka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata penahanan Jamal ada kaitan dengan insiden yang melibatkan sebuah kumpulan anti-Bersih di Teluk Intan dan Sabak Bernam.
Beliau mengesahkan bahawa Jamal telah ditahan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah di KLIA pada pagi Rabu dan berkata: “Beliau ditahan bagi bantu siasatan berhubung insiden keganasan di Teluk Intan dan Sabak Bernam.
“Ia melibatkan tindakan segelintir penyokong anti-Bersih. Kedua-dua kejadian berlaku semasa konvoi Bersih itu bertembung dengan Baju Merah,” katanya yang dipetik oleh AgendaDaily.
0 comments:
Post a Comment