Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 21, 2016

JABATAN MUFTI SERIUS TANGANI AJARAN SYIAH


Ahadi


Kuala Terengganu - Jabatan Mufti Terengganu serius menangani isu Syiah dan pihaknya telah pun mengeluarkan fatwa berhubung isu pengaruh fahaman dan ajaran Syiah di Terengganu pada 18 Ogos 2013.

Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman berkata, fatwa itu dikuatkan lagi apabila diwartakan pada 21 Januari tahun ini bagi tujuan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, walaupun isu fahaman dan ajaran Syiah ini tidak kedengaran berlaku di Terengganu, tetapi jabatan itu telah pun mengambil tindakan proaktif dengan mengeluarkan fatwa dan mewartakannya.

“Jabatan Mufti Terengganu sebenarnya telah mengambil serius dalam isu penyebaran ajaran Syiah ini khususnya dalam konteks Terengganu, demi menjaga akidah umat Islam di Terengganu. 

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah mengeluarkan fatwa berhubung isu pengaruh fahaman dan ajaran Syiah di Terengganu pada 18 Ogos 2013,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Roslin Jaafar, pihaknya menyangkal dakwaan pihak terlibat tentang fatwa Syiah, sebagaimana disiarkan di halaman 36 pada 17 Oktober lalu.

Ahadi turut menyarankan mana-mana pihak yang ingin mengeluarkan kenyataan dalam isu berkaitan fatwa, hendaklah merujuk kepada Jabatan Mufti Terengganu terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan.

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya mana-mana pihak tersilap memberi kenyataan yang boleh menyebabkan ia dimanipulasikan pihak berkepentingan.

“Di samping itu juga, Jabatan Mufti telah mengadakan pelbagai program seperti seminar dan program bersama masyarakat di daerah-daerah bagi tujuan memberi penerangan dan kesedaran terhadap bahaya ancaman Syiah ini,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan pewartaan fatwa mengenai ‘Isu Pengaruh Fahaman Syiah dan Ajaran Syiah’ di Terengganu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah bersetuju dan memutuskan bahawa yang pertama, umat Islam di Negeri Terengganu hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Yang kedua, fahaman dan ajaran Syiah adalah (i) bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah, (ii) ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara, (iii) suatu ajaran yang bercanggah dan menyalahi dengan ajaran Islam yang sebenar, (iv) para penganutnya dikira sesat dan boleh terkeluar dari Islam.

Yang ketiga, memperakukan bahawa fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan Perundangan Islam. Fahaman ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang di Negeri Terengganu. 

Justeru, sebarang penyebaran fahaman Syiah adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Antara larangan dan tegahannya adalah merangkumi:

(i) Menetapkan dan menegaskan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan fahaman Syiah adalah diharamkan serta tidak dibenarkan sama sekali.

(ii) Apa-apa jua bahan publisiti, variasi, versi bentuk dan sebaran yang menonjolkan mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman Syiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah bercanggah dengan akidah Ahli as-Sunah wa al-Jamaah dan dilarang sama sekali.

(iii) Orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, pamplet, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana orang.

(iv) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jemaah atau pengikut Syiah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan akidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah.

(v) Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Terengganu.


0 comments:

share2