Seoul – Samsung Electronics dijangka mengumumkan penarikan balik semua telefon mudah alih terbaharunya Galaxy Note 7, kurang seminggu setelah timbul banyak kes bahawa sesetengah gajet itu meletup semasa dicas.
Demikian menurut laporan agensi berita Korea Selatan, Yonhap pada 1 September memetik sumber daripada seorang pegawai Samsung yang tidak didedahkan namanya, yang menambah bahawa punca letupan itu dikaitkan dengan masalah bateri telefon berkenaan.
Pegawai tersebut juga dipetik sebagai berkata Samsung dijangka mengumumkan hasil siasatan rasmi berhubung punca sebenar letupan yang dilaporkan itu serta langkah-langkah menyeluruh dalam menangani masalah berkenaan selewat-lewatnya pada awal minggu depan.
Agensi berita antarabanga Reuters pada 1 September melaporkan bahawa kes letupan bateri itu memaksa Samsung menangguh semua penghantaran Galaxy Note 7, sekali gus menjejaskan AS$7 bilion (RM28.7 bilion) dalam nilai pasaran peneraju telefon global tersebut.
Di Malaysia, model canggih itu dijual dengan harga pengenalan sebanyak RM3,199 dan pengguna sudah mula membeli pada 19 Ogos lalu bahkan bagi pengguna yang membuat pesanan awal, mereka dapat membelinya menerusi potongan harga sebanyak 10 peratus.
Sekali imbas pada luaran dan dalaman, gajet tersebut boleh dikatakan berasaskan kepada model yang hampir sama dengan peranti Galaxy S sebelum ini, iaitu S7 dan Edge apabila masih lagi mengekalkan ciri model Note sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2010 lepas.
Antara aspek yang mengagumkan pada peranti Galaxy Note 7 ini adalah aspek keselamatan yang lebih jitu iaitu menggunakan imbasan mata pemiliknya sendiri sebagai salah satu fungsinya selain menjadi model pertama menggunakan ciri perisian keselamatan Knox.
Dalam pada itu saham Samsung merosot ke paras terendah dalam dua minggu setelah memaklumkan lewat 31 Ogos bahawa penghantaran ditunda bagi ujian kawalan mutu dan penghantaran kepada tiga penyedia utama khidmat alat mudah alih di Korea Selatan juga dihentikan.
Kerosakan pada alat premium terbaharu itu boleh menjejaskan imej syarikat gergasi itu di Korea Selatan, yang meletakkan harapan tinggi terhadap Galaxy Note 7 bagi mengekalkan momentum keuntungan kukuh dalam penjualan alat mudah alihnya di pasaran global.
Apatah lagi model jenama tersebut kini terpaksa bersaing sengit dengan gajet iPhone terbaharu keluaran syarikat Apple dari Amerika Syarikat yang kebetulan bakal dilancarkan secara besar-besaran di seluruh dunia pada minggu depan.
0 comments:
Post a Comment