Sepasang suami isteri tidak menyangka bunyi ketukan berkali-kali di pintu bilik dan suara anak memanggil ‘abah’ didengari adalah disebabkan rumah mereka di Taman Sri Embun, di sini, dipecah masuk sekumpulan penyamun awal pagi semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, Khairi Hamzah, 45, dan isterinya, Rosnaini Buhari, 41, pada mulanya enggan membuka pintu bilik mereka kerana berasa tidak sedap hati apabila mendengar bunyi ketukan itu.
Bagaimanapun setelah mendengar suara Muhammad Yusri, 17, memanggil ‘abah’, Khairi terus membuka pintu bilik untuk memeriksa keadaan anaknya itu.
Rosnaini berkata, sebaik pintu bilik dibuka, dia melihat anaknya, Muhammad Yusri dan Muhammad Syukri, 20, dalam keadaan tangan terikat serta dikawal sekumpulan penyamun bersenjatakan parang.
“Penyamun tolak suami saya sampai jatuh ke lantai. Suami cuba bangun tapi mereka acu parang.
“Mungkin mereka sangka suami saya nak melawan, jadi salah seorang penyamun acu parang dan ditepis dalam cubaan mempertahankan dirinya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, akibat kejadian itu, suaminya mengalami luka pada tangan kiri sehingga terpaksa menerima 10 jahitan.
Rosnaini berkata, penjenayah terbabit mengikat tangan Khairi dan pada masa sama mengacukan parang kepada suaminya itu dan dua anak mereka.
“Penyamun tanya saya mana duit, saya pun tunjuklah duit jualan perniagaan apam balik dalam satu bekas. Lepas tu, mereka tanya barang kemas pula. Mereka ambil rantai leher saya dan gelang yang saya letak di almari.
“Mereka tanya jika saya ada simpan lagi barang kemas, saya beritahu dah tak ada. Ada barang kemas saya dah gadai sebab tak ada duit. Saya siap tunjuk surat pajak gadai dan bersumpah, tapi mereka marah saya,” katanya.
Menurutnya, kesemua penjenayah terbabit bersenjatakan parang sepanjang kira-kira semeter dan bertopeng.
“Mereka turut mengugut untuk melakukan sesuatu ke atas keluarga saya jika masih terjumpa barang kemas yang kononnya disorok.
“Saya manalah ada harta sangat. Saya cuma berniaga apam balik di pasar malam dan pekan sehari dengan pendapatan tidak menentu. Kalau ada memang saya bagi sebab pada saya nyawa keluarga lagi berharga,” katanya.
Wanita itu berkata, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kejadian itu dan anak keduanya, Muhammad Azri, 19, serta pekerjanya yang tinggal bersama, Nurul Iffah Syafiqah Zaina Amir, 16, tidak berada di rumah ketika kejadian.
Sementara itu, Muhammad Yusri berkata, ketika kejadian dia dan abangnya tidur di bilik hadapan rumah sebelum dikejutkan seseorang.
“Bila buka sahaja mata saya nampak lima penyamun berada di sekeliling saya dan memegang tangan saya sambil pengacukan parang ke leher.
“Mereka terus ikat tangan saya guna tali kasut sebelum kejut abang saya dan turut mengikatnya,” katanya.
Remaja itu berkata, mereka berdua dibawa ke bilik ibu bapa sementara kesemua penyamun terbabit menggeledah rumah.
Sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarganya, Muhammad Azri yang baru sahaja memulakan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumah ibu bapanya.
Nurul Iffah pula berkata, dia kebetulan berasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah pada malam kejadian dan memutuskan tidur di rumah rakannya di Kampung Bukit Genting.
0 comments:
Post a Comment