Peniaga di Pasar Besar Temerloh meminta Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) meletakkan penjaga tandas awam memandangkan kemudahan yang ada itu semakin teruk dan tidak diselenggara ketika ini.
Peniaga mendakwa, akibat ketiadaan penjaga, tandas awam itu berhadapan dengan pelbagai masalah seperti kerosakan pada tangki, paip air pecah, lantai bertakung dan sampah sarap bertaburan.
Seorang peniaga, Rosman Abdullah, 38, berkata, keadaan tandas itu kelihatan tidak terurus sejak dua bulan lalu apabila tidak ada lagi penjaga seperti sebelumnya.
“Dulu kalau tak silap saya tandas ini dijaga oleh koperasi MPT, sekarang pun mungkin milik koperasi itu lagi tetapi tidak ada penjaga.
“Bila tiada penjaga masalah mula timbul satu persatu, mula-mula air tangki melimpah, lepas itu paip pecah dan air bertakung di lantai sekarang sampah sarap pun banyak dilonggok di tandas ini.
“Akibatnya ramai peniaga yang geli untuk pergi ke tandas, lebih kasihan kepada orang tua yang nak buang air,” katanya.
Rosman berkata, masalah itu berlaku di kedua-dua tandas awam lelaki dan wanita yang terletak bersebelahan di tingkat satu Pasar Besar Temerloh.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, MPT digesa melihat dan menilai kerosakan tersebut dan membaiki semula serta meletakkan seorang penjaga tandas tetap yang bertugas di situ.
“Kami harap tindakan segera, sebelum keadaan lebih teruk yang akan menyebabkan kos penyelenggaraan akan meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas pihak MPT pada tempoh terdekat.
0 comments:
Post a Comment