Rompin adalah sebuah daerah yang memiliki lokasi pelancongan menarik dan sepatutnya menjadi antara tempat wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Pahang.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin berkata, geografi daerah ini yang terletak di tenggara Pahang sangat menarik kerana memiliki laut, pulau, sungai, hutan simpan yang semuanya kaya dengan hasil alam.
Menurutnya, semua kelebihan itu wajar meletakkan Rompin pada tahap tertentu supaya menjadi kawasan tumpuan atau lokasi wajib bagi pelancong yang turut mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduknya.
“Kita mahu pihak Tourism Pahang melihat kelebihan yang ada ini dan bekerjasama dengan pemimpin di daerah ini supaya Rompin menjadi tarikan utama kepada pelancong yang mengunjungi Pahang.
“Kita ada Taman Negeri Endau-Rompin, Pulau Tioman, laut yang terkenal dengan pelbagai jenis ikan terutama ikan layaran, udang galah yang sudah sinonim dengan Sungai Rompin dan pelbagai lagi yang menawarkan pakej pelancongan lengkap,” katanya kepada pemberita, malam kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rompin Fest 2016 dan Majlis Pelancaran Promosi Tahun Melawat Pahang 2017 Peringkat Daerah Rompin yang berlangsung di Pantai Hiburan, di sini.
Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Datuk Mohd Johari Hussain; Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan; Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain dan Pegawai Daerah Rompin, Mohd Zulkifli Hashim.
Dalam pada itu, Hasan turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan Rompin Fest kali ke-25 yang sudah menjadi acara wajib diadakan setiap tahun dan termasuk dalam kalendar pelancongan Pahang.
“Saya harap bukan sekadar penduduk Rompin tetapi penduduk dari daerah lain dan negeri berhampiran dapat datang ke sini untuk memeriahkan lagi pesta yang menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung,” katanya.
0 comments:
Post a Comment