Jabatan Kebajikan Masyarakat Rompin sedang mengesan waris kepada seorang warga emas yang terlantar di Hospital Rompin sejak dua bulan lalu akibat diserang stroke di Kuantan.
Warga emas yang hanya dikenali sebagai Esah Hassan, 66, telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 20 Julai lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Rompin keesokan harinya untuk rawatan lanjut.
Pegawai JKM Rompin, Suria Murni Rosadi, berkata, pihaknya berhadapan masalah untuk mengesan waris warga emas berkenaan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan masalah kesihatan.
Menurutnya, usaha mengesan waris telah dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun tetap gagal menyebabkan sehingga kini dia masih dalam pengawasan hospital dan JKM.
“Berdasarkan laporan yang saya terima warga emas ini telah dimasukkan ke HTAA selepas diserang stroke yang menyebabkan dia lumpuh sebelah kanan badan, tidak boleh bercakap dan seolah mengalami masalah ingatan.
“Setakat ini maklumat yang kami ada hanya namanya adan dipercayai berasal dari Terengganu. Saya juga difahamkan tempat tinggal terakhir dia terletak di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Suria berkata, selama dua genap dua bulan di hospital, warga emas berkenaan menunjukkan perubahan kesihatan yang agak ketara dan kini sudah boleh berkomunikasi serta menggerakkan anggota badannya.
Katanya, ketika dimasukkan ke Hospital Rompin pada 21 Julai lalu, dia hanya mampu mengelipkan mata tetapi sekarang sudah faham dan memberi maklum balas apabila ditegur oleh jururawat atau staf JKM.
“Melihat kepada masalah yang dihadapi oleh mak cik ini, kita telah memohon supaya dia ditempatkan di Rumah Ehsan namun ia masih dalam peringkat proses kelulusan daripada bahagian berkenaan.
“Kepada waris atau mana-mana pihak yang mengenali mak cik ini boleh berhubung dengan pejabat JKM Rompin di talian 09-4145278 untuk sebarang pertanyaan atau terus ke Hospital Rompin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment