Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 25, 2016

PENTING BERI KESEDARAN BAHAYA PEDOFILIA, PORNOGRAFI


Penting beri kesedaran bahaya pedofilia, pornografi


Johor Bahru- Kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya pedofilia, pornografi dan jenayah siber perlu diteruskan, kata Ketua Wanita Ikram Malaysia (Ikram) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Beliau berkata ada dalam kalangan ibu bapa yang masih membiarkan anak-anak mereka bermain gajet keseorangan yang membolehkan mereka melayari pelbagai laman web.

"Jangan biarkan anak-anak terdedah (dengan Internet), bukan kita tidak boleh tengok (Internet), tetapi aktiviti ini mesti dimbimbing, dipantau selalu oleh ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Seminar Lindungi Diri dan Keluarga: Pedolifia, Pornografi dan Jenayah Siber yang disempurnakan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Che Asmah berkata, pihaknya tidak menafikan pengawalan terhadap sesetengah laman web di Internet adalah perkara sukar dilakukan kerana apabila suatu laman web sudah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), wujud pula laman web lain.

"Jadi, kita kena bermula daripada awal membina masyarakat yang tahu nilai baik dan buruk," katanya.

Beliau berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokus kepada usaha pembelaan dan pembinaan kanak-kanak, wanita dan keluarga, pihaknya memberi ruang kerjasama kepada mana-mana agensi dan NGO lain untuk menjayakan program yang dirancang secara bersama.

Ikram telah memperkenalkan Pakej Modul Sejahtera: Lindungi Diri dan Keluarga untuk memberi pendidikan serta kesedaran terhadap sebarang ancaman pedofilia, pornografi dan jenayah siber.

Sementara itu, Ketua Wanita Ikram Johor Sabariah Manshor berkata pakej itu merangkumi program-program yang boleh ditawarkan keapda masyarakat khususnya sekolah dalam membendung dan membanteras gejala berkenaan.

Dengan menekankan pembangunan sahsiah yang seimbang bermula dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek, pakej itu turut ditawarkan dalam empat pakej utama yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur mulai empat hingga 18 tahun ke atas.

Semua aktiviti dijalankan melalui kaedah-kaedah penerangan ringkas, soal jawab dan bercerita, tayangan video, aktiviti menulis, melukis dan berlakon, seminar serta perbincangan secara berkumpulan.


0 comments:

share2