Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 25, 2016

HAMPIR 7 JUTA BAKAL SERTAI HARI SUKAN NEGARA


Khairy Jamaluddin


Hampir 7 juta penyertaan direkodkan bagi menyertai pelbagai aktiviti sempena Hari Sukan Negara yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 8 Oktober ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, jumlah itu telah melebihi sasaran enam juta penyertaan yang ditetapkan kementerian pada tahun ini.

"Kalau tahun lepas, kita hanya sasarkan 10 peratus penyertaan penduduk, tahun ini kita menyasarkan 20 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia.

"Setakat ini 6.9 juta telah mendaftar sebagai peserta dan jumlah tersebut melebihi sasaran enam juta yang kita tetapkan dan ia melibatkan 22,000 acara yang akan berlangsung seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia di Sekolah Menengah Sains Machang di sini, hari ini.

Lebih 10,000 orang menyertai program berkenaan yang turut dihadiri anggota Parlimen Machang yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Pada program itu, Khairy turut meluangkan masa mengayuh basikal sejauh 30 kilometer bersama peserta yang terlibat.

Khairy berkata, kementerian turut memperuntukkan sejumlah RM500 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara dalam menyemarakkan lagi Hari Sukan Negara.

Beliau berkata, JKKK akan menganjurkan sukan berskala kecil di peringkat kampung, selain acara berkenaan yang turut dijalankan di peringkat negeri, kawasan Parlimen dan daerah di seluruh negara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan pekeliling agar setiap sekolah di negara ini turut menganjurkan sukan di peringkat sekolah masing-masing pada hari berkenaan.


0 comments:

share2