Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 26, 2016

[BERA] WASPADA UBAT TIDAK BERDAFTAR


Waspada ubat tidak berdaftar


Keghairahan masyarakat mengambil ubat tanpa saranan doktor untuk kegunaan pelbagai boleh mengundang bahaya serta memberi kesan untuk tempoh jangka masa pendek dan panjang.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Zainal Ariffin Omar berkata, masih ramai yang mengambil mudah berhubung bahaya penggunaan ubat tidak berdaftar serta tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga sanggup mengetepikan saranan doktor.

“Apabila masyarakat terlampau pandai dalam hal ini, mereka sanggup pula beri cadangan (kepada doktor) untuk ambil ubat-ubatan lain yang belum diketahui keberkesanannya dan komplikasi kepada pengguna.

“Begitu juga dengan produk kecantikan seperti untuk memutihkan wajah yang dipercayai ada di antara produk (tidak berdaftar) mengandungi bahan yang terlarang tetapi masyarakat tidak mengendahkannya asalkan hasrat untuk dapatkan kulit cerah tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Hari Karnival Farmasi Peringkat Negeri Pahang 2016, di Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Halimi Mat Piah.

Lebih 1,000 membanjiri persekitaran Kompleks Rakan Muda dengan kepelbagaian aktiviti yang dijalankan seperti Fun Run, senamrobik, pameran, derma darah dan kuiz.

Zainal Ariffin berkata, walaupun pelbagai kempen dijalankan bertujuan memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat namun perkara ini masih belum menjadi keutamaan mereka.

“Terlalu banyak iklan sama ada secara online atau sebaliknya, dengan memaparkan testimoni pengguna untuk menarik perhatian pengguna lain tanpa menyedari ada di antara produk-produk itu tidak berdaftar.

“Kita bimbang jika ubat ini digunakan secara berterusan akan memberikan kesan negatif kepada pengguna untuk tempoh jangka panjang mahupun pendek. Harap masyarakat pandai buat pilihan terbaik, pilih ubat-ubatan atau produk yang tidak mendatangkan bahaya kepada diri mereka,” katanya.

Katanya, menerusi program itu diharap dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat untuk mengetahui ciri-ciri ubat yang berdaftar dengan kementerian dan menitikberatkan pengambilan insurans kesihatan bagi setiap ahli keluarga demi kesejahteraan mereka pada masa akan datang.


0 comments:

share2