Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 20, 2016

[JERANTUT] KECEWA HASRAT BELUM KESAMPAIAN


Kecewa hasrat belum kesampaian



Hasrat sebuah keluarga menyambut Aidilfitri di rumah baharu tahun ini, sekali lagi tidak kesampaian apabila projek pembinaannya masih terbengkalai sehingga kini.

Lebih malang, rumah diharapkan boleh didiami sebelum Aidilfitri lalu, kini hanya siap 80 peratus.

Pemiliknya, Ab Halim Ismail, 65, berkata, pembinaan rumah berkenaan menggunakan wang Skim Pinjaman Perumahan untuk Golongan Berpendapatan Rendah yang dimohon pada Ogos 2014.

Menurutnya, pinjaman berkenaan dimohon menggunakan nama anaknya memandangkan usianya sudah lanjut.

"Daripada jumlah pinjaman tu, RM27,000 dah digunakan kontraktor untuk bina rumah ni. Sekarang dah 80 peratus siap, selebihnya terbengkalai sejak sembilan bulan lalu dan menyebabkan beberapa bahagian dinding retak.

"Kecewa...sebab dah banyak kali buat aduan, tapi semua dokumen diserah balik pada saya. Malah, saya diberitahu, kena tambah duit lagi untuk ambil kontraktor lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara turut memaklumkan baki pinjaman boleh dituntut hanya sebanyak RM13,000.

"Saya kena tambah lagi duit (RM13,000) untuk siapkan rumah ni. Mana saya nak cari... saya kerja sendiri, pendapatan tak menentu.

"Memang saya tak mampu, lagipun saya ada anak OKU (Maizatulakmar, 22) yang sakit kanser payudara dan kebanyakan duit digunakan untuk tampung kos rawatan dia," katanya.

Sementara itu, isterinya, Maimunah Waria, 60, berkata, mereka buntu memikirkan cara mendapatkan wang untuk menyambung semula pembinaan rumah berkenaan.

Menurutnya, Maizatulakmar memerlukan wang untuk rawatan bulanan selain kos berulang alik ke Hospital Jerantut dan Temerloh untuk bertemu pakar.

"Anak saya perlu bergantung kepada susu khas berharga RM73 dan dia juga guna lampin pakai buang dengan anggaran kos RM200 sebulan.

"Tapi, saya bersyukur sebab dia dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan ada juga sumbangan daripada persatuan atau orang yang datang ziarah," katanya.

Dia berkata, mereka juga dimaklumkan tidak akan memperoleh geran selagi bayaran ke atas pinjaman belum dilangsaikan.

“Pinjaman nak buat rumah ni kena bayar balik... sedangkan rumah kami ni tak tahu bila nak siapnya.

"Saya harap sangat rumah tiga bilik siap cepat, kasihan anak... kalau siap boleh dia tinggal selesa," katanya.




0 comments:

share2