Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 16, 2016

INSIDEN TEMBAKAN MASIH SEGAR


Insiden tembakan masih segar


Kuala Terengganu – Pernah berdepan dengan kes tembakan dalam jarak kurang 50 meter daripada Sekolah Menengah (SM) Tungku, Lahad Datu, Sabah, tidak menjadi halangan kepada guru pendidikan Islam, Mohd Nor Mamat, 58, untuk terus berjuang di dalam bidang pendidikan.

Biarpun peristiwa hitam itu berlaku lebih 30 tahun lalu, namun bapa kepada enam cahayamata itu berkata, ia tidak sesekali dilupakannya kerana ketika itu dia bukan sahaja berjuang menyelamatkan diri sendiri, tetapi turut bertanggungjawab memastikan pelajar di dalam kelas itu tidak terkena tembakan.

Menurut Mohd Nor, ketika kejadian, dia sedang bertugas menjaga pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau PMR dan secara tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan dan peluru bertalu-talu memasuki perkarangan sekolah.

“Ketika kejadian, kebanyakan guru dan pelajar dari kelas lain melarikan diri tetapi pada masa sama, saya tidak berfikir untuk melarikan diri sebaliknya terus bersama pelajar-pelajar di dalam kelas itu.

“Kemudian saya arahkan mereka semua untuk meniarap di atas lantai sambil berdoa supaya ALLAH SWT melindungi kami semua sehinggalah keadaan genting itu reda 15 minit kemudian,” katanya kepada media ketika majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan Kebor Besar, di sini.

Mohd Nor berkata, sepanjang tujuh tahun dia mengajar di sekolah berkenaan, itu adalah kejadian pertama yang berlaku berhampiran sekolahnya tetapi sebenarnya, kejadian tembak-menembak sering berlaku di sekitar Lahad Datu sejak dahulu lagi.

Ditanya mengenai risiko berdepan kejadian sebegitu, Mohd Nor yang baru pertama kali bertugas dan diarahkan mendaftar diri di sekolah berkenaan (SM Tungku) pada 1984, berkata, dia sudah mengetahui pergolakan di daerah itu dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Saya tahu banyak kes tembak menembak di sana (Lahad Datu), tetapi saya tidak menolak (tawaran) sebaliknya menerima dengan hati terbuka, lagipun guru-guru di sana sangat baik dan saling memberi semangat sesama guru,” katanya.

Sementara itu, berbalik kepada perancangannya selepas bersara, Mohd Nor berkata, dia bercadang untuk menghabiskan masa lapang bersama isteri, Azizah Ismail, 54, dan keluarganya serta menjadi tenaga pengajar pelajaran Islam di surau berdekatan rumahnya di Kampung Paya Datu, di sini.


0 comments:

share2