Surau Al-Kauthar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keratong, di sini, tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin ramai untuk menunaikan solat berjemaah dan ibadah lain.
Surau yang dibina pada 1981 selepas sekolah itu mula beroperasi kini mengalami kerosakan disebabkan faktor usia termasuk beberapa bahagian strukturnya sudah reput dimakan anai-anai sehingga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko terhadap keselamatan pelajar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Amir Sharifuddin Osman berkata, saiz surau yang kecil tidak mampu menampung jumlah kira-kira 500 pelajar hingga ada ketikanya mereka terpaksa menggunakan kelas yang digabungkan untuk dijadikan surau sementara.
Pembinaan surau baharu yang lebih besar dan selesa adalah keperluan kerana rutin bagi pelajar sekolah itu menunaikan solat Zohor berjemaah dan solat sunat dhuha setiap hari serta aktiviti lain termasuk bacaan surah Yasin pada setiap Jumaat.
“Surau ini memang sudah uzur dan usang kerana usianya menjangkau 35 tahun selain ruangnya tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar dan akan bertambah pada masa akan datang.
“Disebabkan masalah ini, pihak sekolah terpaksa mengadakan solat berjemaah di surau sementara iaitu di dewan kecil selepas beberapa kelas digabungkan namun tetap tidak mampu menampung keseluruhan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bahagian surau yang reput dimakan anai-anai memerlukan kos tinggi bagi tujuan membaik pulih secara berkala namun ketika ini kerosakan itu masih terkawal.
Selain itu, keadaan fizikal struktur surau itu juga tidak sesuai memuatkan jemaah yang ramai kerana kedudukan bumbung dan lantai agak rendah sekali gus menjadi panas atau terasa sesak apabila dipenuhi jemaah.
Amir Sharifuddin berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak sekolah dan ahli PIBG lain serta mengambil keputusan untuk membina surau baharu di tapak disediakan namun memerlukan dana sumbangan awam bagi menjayakannya.
“Saya selaku wakil PIBG SMK Keratong memohon sumbangan daripada individu atau mana-mana pihak yang prihatin untuk dana membina surau baharu dengan kos dianggarkan RM500,000 bagi memastikan sesi pembelajaran agama dan ibadah pelajar lancar.
“Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Rakyat 22-107-120649-8 atas nama Surau Al-Kauthar SMK Keratong atau boleh berhubung dengan saya di talian 014-2969825 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment