“Saya tak pernah menyesal terima tawaran sebagai warden di rumah jagaan ini sebab niat saya ikhlas nak jaga mereka sambil curah ilmu agama seperti solat dan baca al-Quran,” kata Siti Suhana Mohamed Amin, 25.
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Kolej Universiti Insaniah (Kuin), dia tidak memilih jawatan dan menerima tugas sebagai warden di rumah warga emas Baitul Hanan, Beserah sejak lebih setahun lalu.
Disebabkan sifatnya yang penyayang, semua warga emas yang menghuni rumah itu dianggap sebagai nenek sendiri.
Siti Suhana berkata, dia tidak pernah menganggap mereka sebagai beban sebaliknya menganggap dirinya bertuah dapat menumpang kasih 'ramai' nenek.
Menurutnya, setiap hari dia melayan warga emas yang ada juga di antara mereka kembali bersifat keanak-anakan.
"Jaga warga emas yang mengalami masalah kesihatan dan ingatan ni memang kena banyak sabar dan ikhlas. Mereka perlu kasih sayang dan perhatian.
“Saya tak pernah pun rasa jijik melayan mereka, najis mereka saya basuh dan kami tidur bersama dalam satu bilik. Saya sanggup buat apa saja demi keselesaan mereka di sini," katanya yang berasal dari Muadzam Shah, Rompin.
Tambah Siti Suhana, kini terdapat tujuh warga emas tinggal di Baitul Hanan secara tetap, selain ada yang hanya tinggal sebelah siang saja kerana anak-anak mereka akan menjemput dan membawa mereka pulang selepas bekerja.
Katanya, semua urusan menjaga tujuh warga emas di Baitul Hanan dilakukan sendiri bersama rakannya, Siti Rafidah Mohamad, 25, yang juga pengurus di sini.
“Kami bertugas 24 jam secara bergilir. Semua warga emas perlu diberi perhatian sebab ada di antara mereka yang dah tak berapa ingat. Contohnya dah sampai tandas tapi tak ingat nak buat apa," katanya.
Menurutnya, dia hanya mampu menangis apabila berdepan warga emas yang bersikap agresif selain tidak mendengar cakap kerana memahami itu saja cara untuk mereka melepaskan perasaan.
Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, ada banyak kes warga emas yang datang ke sini termasuk didera ahli keluarga, terbiar dan mengalami masalah kesihatan.
“Dugaan paling mencabar apabila menjaga warga emas yang nyanyuk sebab mereka akan buat sesuatu di luar jangkaan.
“Tapi selama lebih setahun bertugas di Baitul Hanan ini, saya berpuas hati dapat menjaga warga emas yang dianggap seperti nenek sendiri, pada masa sama saya dapat mengajar mereka membaca al-Quran dan sembahyang.
“Kami menunaikan solat bersama dan pada waktu lapang kami berzikir. Dengan cara itu semangat warga emas menjadi lebih kuat dan sentiasa dapat mengingati ALLAH,” katanya yang sebelum ini belajar di Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan.
0 comments:
Post a Comment