Gua Musang - “Saya hanya sempat tarik adik yang sedang tidur sebelum keluar dari rumah,” kata Muhammad Zulhusni, 19, setelah rumahnya di Jalan Kemboja, Taman Wangi, di sini, hangus dalam kebakaran kira-kira jam 2.40 pagi semalam.
Katanya, ketika kejadian, dia dan adiknya, Muhammad Zulkarnain, 16, sedang tidur di bilik masing-masing sebelum terasa bahang api yang sedang membakar bilik di ruang dapur.
“Kami hanya tinggal berdua di rumah kerana ibu, ayah dan adik bongsu ke Kuala Lumpur di rumah abang. Apabila tengok api sedang marak di bilik, saya hanya ingat untuk bawa keluar adik saja.
“Semua dokumen penting, alatan kelengkapan rumah hangus. Kami tak dapat selamatkan apa-apa. Yang selamat hanya dua motosikal di garaj saja,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, ibu mereka, Minah Ismail, 45, memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam 3 pagi semalam.
“Kami berada di Seri Kembangan, Selangor, di rumah anak (Muhammad Zuhaifire, 27) untuk mengambil anak kedua (Muhmmad Zulfekar, 25) yang baru saja tiba di lapangan terbang kerana dia bekerja di Sabah.
“Saya turut bawa anak bongsu (Muhammad Zulhairi Zairi, 5). Setelah dimaklumkan, saya terus pulang dan ambil anak ketiga (Muhammad Zulhilmi, 23) di Raub.
“Kami sampai di rumah jam 9 pagi dan lihat semuanya sudah musnah. Kami anggarkan kerugian kira-kira RM125,000,” katanya.
Suami Minah, Rosli Ismail, 54, yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), menerima takdir ini dengan hati yang terbuka.
Bersimpati dengan nasib menimpa kakitangannya, Pengurus Besar Kesedar, Datuk Fazam Mat Lazim turut menziarahi dan memberikan sumbangan segera kepada keluarga ini.
Menurut Fazam, keluarga tersebut akan ditempatkan di kediaman sementara di Taman Kesedar Putra sebelum mendapat kediaman kekal.
Dalam pada itu, Bendahari Umno Bahagian, Zamzani Harun dan Ketua Penerangan Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim, turut menyampaikan sumbangan daripada Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah kepada Rosli sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, PBK Awang Mamat memberitahu, punca kejadian masih dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment