Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 16, 2016

UGUT TIKAM IBU KANDUNG


PDRM


Kuala Terengganu - Seorang lelaki sanggup mengugut mahu menikam ibu kandungnya menggunakan pisau setelah bengang kemahuannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak ditunaikan, dalam kejadian di Kampung Tok Pong, Kedai Buluh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, lelaki berusia 34 tahun itu turut mengugut mahu menikam mangsa, 52, dengan penyodok pasir dan besi kaki payung sekiranya masih berdegil tidak menyerahkan wang dikehendaki.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila mangsa yang ketika itu sedang berehat di rumah dikejutkan dengan kepulangan anak lelakinya dalam keadaan marah sebelum meminta sejumlah wang.

“Mangsa yang hanya berniaga kecil-kecilan di kampungnya bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan itu dengan memberi alasan tidak mempunyai wang dan simpanan yang ada hanya cukup untuk belanja barang dapur sahaja.

“Penjelasan yang diberikan wanita itu bukan mengundang simpati malah suspek semakin naik angin dan mengamuk seperti orang hilang akal dengan merosakkan peralatan di dalam rumah,” katanya.

Sumber berkata, tidak cukup merosakkan sebahagian peralatan di dalam rumah, suspek melepaskan amarahnya dengan mengugut mangsa mahu menikam menggunakan pisau, penyodok pasir dan besi kaki payung sekiranya masih berdegil tidak mahu memberikan wang.

“Sejurus mengugut ibunya, suspek yang juga merupakan seorang penagih dadah itu terus beredar dari rumah dan berjanji akan pulang semula untuk mendapatkan wang yang diminta.

“Mangsa yang sudah tidak mampu lagi menampung perbelanjaan suspek selama ini mengambil keputusan membuat laporan polis sebaik sahaja dia keluar dari rumah selain bimbang akan keselamatan dirinya dan ahli keluarga lain pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, seorang ibu turut berdepan nasib sama apabila menerima sistem pesanan ringkas (sms) berbaur ugutan daripada anak lelakinya kerana gagal memberikan wang RM100 yang diminta, dalam kejadian di Kampung Tok Mel, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus, Rabu lalu.

Mangsa, 37, bagaimanapun mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung tindakan anak lelakinya yang tergamak mengugut akan melakukan sesuatu sekiranya tidak menyerahkan wang berkenaan pada Sabtu lalu.


0 comments:

share2